KUALA LUMPUR: Prestasi nilai ringgit mengatasi kesemua mata wang negara serantau dan merupakan satu-satunya mata wang serantau yang mengukuh sebanyak 1.4 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak 26 Februari lalu.


Ringkasan AI
  • Nilai ringgit Malaysia mengatasi semua mata wang serantau dan mengukuh sebanyak 1.4% berbanding dolar AS sejak 26 Februari, sementara mata wang serantau lain seperti rupee India, dolar Singapura, renminbi China, dan lain-lain mengalami penyusutan nilai.
  • Pengukuhan ringgit dipengaruhi oleh faktor global dan domestik seperti harga komoditi, sentimen pasaran kewangan, unjuran pertumbuhan ekonomi, serta perkembangan global seperti pengukuhan dolar AS dan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
  • Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah-langkah untuk memastikan kestabilan mata wang dan pasaran pertukaran asing domestik, termasuk menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam penyelesaian eksport, dan kerajaan terus menarik pelaburan asing serta melaksanakan polisi pembaharuan struktur dan pengukuhan fiskal untuk jangka masa panjang.


Memberitahu Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan kestabilan mata wang dan pasaran pertukaran asing domestik.

"Mata wang serantau seperti rupee India (-0.8 peratus), dolar Singapura (-0.8 peratus), renminbi China (-0.9 peratus), baht Thailand (-1.8 peratus), dolar Taiwan (-2.4 peratus), won Korea (-3.9 peratus), peso Filipina (-4.9 peratus), rupiah Indonesia (-5.1 peratus) dan yen Jepun (-5.3 peratus) telah mengalami penyusutan nilai berbanding dolar AS," katanya pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai apakah sebab  nilai ringgit  semakin kukuh berbanding dolar AS, sejak akhir-akhir ini.

Mengulas lanjut, Hui Ying (PH-Tanjong) berkata pergerakan ringgit dipengaruhi oleh pelbagai faktor global dan domestik yang  merangkumi harga komoditi, sentimen pasaran kewangan dan unjuran pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, katanya prestasi ringgit yang dialami dalam tempoh terdekat turut didorong oleh perkembangan global, secara khususnya pengukuhan dalam dolar AS dan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

"Perbezaan sebanyak 250 mata antara kadar faedah Malaysia dan AS juga mendorong pelabur untuk mengalihkan modal keluar dari pasaran domestik ke pasaran yang memberikan pulangan lebih tinggi.

"Ekonomi AS yang kukuh dan tekanan inflasi yang berterusan pula telah mengukuhkan jangkaan para pelabur bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi di paras kini untuk tempoh yang lebih panjang. Dinamik ini secara langsung memberikan tekanan kepada prestasi ringgit," tambahnya.

Bagi menguruskan tekanan jangka masa pendek terhadap ringgit, Hui Ying menjelaskan kerajaan dan BNM juga telah mengambil langkah terselaras untuk menggalakkan aliran yang lebih konsisten ke dalam pasaran kewangan domestik.

Langkah-langkah tersebut, katanya termasuk menggalakkan penghantaran balik dan pertukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang telah membuahkan hasil terhadap prestasi ringgit.

"Di samping itu, BNM juga giat menjalankan sesi libat urus dan pemantauan penukaran hasil eksport kepada ringgit terhadap syarikat  pengeksport.

"BNM akan meneruskan usaha untuk menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang dolar AS," katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan Malaysia terus merekodkan kejayaan dalam menarik pelaburan asing dengan pelaburan diluluskan melonjak pada suku pertama tahun ini.

Perkembangan tersebut, katanya menunjukkan bahawa pelabur semakin yakin terhadap perkembangan ekonomi negara dan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

Manakala untuk tempoh jangka masa panjang pula, Hui Ying berkata kerajaan kekal komited dan fokus  dalam usaha pelaksanaan polisi-polisi pembaharuan struktur dan pengukuhan fiskal.