Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjangkakan unjuran ekonomi Malaysia yang lebih baik pada tahun ini, didorong oleh kepelbagaian ekonomi negara serta dasar kerajaan yang akomodatif.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata unjuran itu turut disokong oleh prestasi ringgit serta sentimen pasaran saham Malaysia yang lebih positif.

Jelasnya, unjuran ringgit itu dipacu oleh aliran masuk dana asing ke dalam pasaran ekuiti tempatan yang bertukar positif setakat tahun ini berbanding aliran keluar sebanyak RM3.1 bilion pada tahun lepas.

Faktor kestabilan itu adalah disebabkan oleh pemilikan asing Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang turut merangsang pergerakan ringgit.

"Aspek ini (aliran asing, MGS dan GII) hanya mengukuhkan unjuran terhadap ringgit yang ketika ini nilainya lebih rendah daripada sepatutnya," katanya pada sidang media Kajian 2016 dan Perkembangan 2017 PNB di sini, pada Isnin.

Mengulas selanjutnya, Abdul Wahid berkata, pasaran saham negara turut mencatat sentimen positif dengan indeks petunjuk utama FBM KLCI ditutup pada paras 1,745.75 pada Jumaat lepas, iaitu menokok 104 mata atau 6.3 peratus sejak awal tahun ini.

Selain itu, menyentuh Pelan Strategik 'Strive-15' PNB bagi 2017-2022 yang menyenaraikan 15 inisiatif, beliau berkata kumpulan itu akan meneruskan pelaksanaan pelan berkenaan ke arah mengekalkan pulangan kompetitif kepada semua pemegang akaunnya.

"Sejak pengumuman pelan itu pada November tahun lepas, syarikat-syarikat strategik kami seperti Sime Darby Bhd dan UMW Holdings Bhd turut mengumumkan langkah penyusunan semula masing-masing.

"Kami berharap ini akan dapat merangsang pasaran dan mendorong pertumbuhan korporat di Malaysia," katanya.

PNB juga, katanya, sudah memulakan usaha bagi menseimbangkan peruntukan asetnya dengan mengalihkan bahagian tunai kepada pendapatan tetap secara berperingkat yang turut menjadi antara strategi melonjakkan pulangan portfolio secara keseluruhan dan pada masa sama menyokong pasaran pendapatan tetap domestik.

Abdul Wahid berkata PNB turut meningkatkan pelaburan swastanya menerusi pengembangan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menerusi pengambilalihan Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Sdn Bhd (Lebuhraya SILK).

Katanya, langkah pengambilalihan oleh PNB itu bertujuan mempercepatkan penyenaraian Prolintas kepada tarikh sekitar tahun 2019 berbanding sasaran awal pada 2020. -- Bernama