TAHUN 2021 terus memberikan cabaran yang hebat terhadap kelangsungan perniagaan kebanyakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.

Keluhan PKS dirasai apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan lagi Januari ini sehingga keadaan penularan jangkitan COVID-19 dapat dikekang.

Bagaimanakah nasib PKS dalam keadaan pergerakan orang ramai dan pekerja keluar masuk ke premis perniagaan adalah terhad?

Impak utama akibat kawalan pergerakan ini dilihat dari dua perspektif: bagi pihak pelanggan, mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan produk, manakala bagi pihak peniaga, mereka tidak dapat menyediakan produk kepada pelanggan lantaran pembekal tidak dapat menghantar bekalan kepada pengeluar atau peruncit/peniaga.

Kekangan ini secara umumnya melibatkan ketersediaan dan kecapaian produk dalam kuantiti, kualiti, dan pada masa yang dikehendaki oleh pelanggan sasaran.   

Sebagai mengambil langkah aktif bagi mengatasi kekangan pergerakan, beberapa negara di Eropah, telah menginovasi industri pelancongan mereka dengan memperkenalkan kaedah lawatan maya (tour visit) ke muzium atau destinasi pelancongan melalui teknologi realiti maya (virtual reality).

Secara maya, pelancong masih boleh ‘mengalami’ keseronokan melancong walaupun mereka tidak dapat hadir secara fizikal ke destinasi pelancongan tersebut. 

Di Malaysia, inovasi transaksi perniagaan diaplikasikan melalui pembelian dalam talian di mana pelanggan berpeluang membeli barangan secara dalam talian tanpa perlu berada di premis jualan secara fizikal.

Mereka hanya perlu memilih produk, membuat tempahan dan membayar secara atas talian. Seterusnya, hanya menunggu produk untuk sampai ke rumah.

Platform seperti Shopee dan Lazada merupakan yang paling popular dalam kalangan pelanggan untuk membuat pembelian pelbagai barangan keperluan harian.

Persoalannya, setakat manakah PKS di Malaysia turut mengadaptasi perkembangan teknologi ini dan merebut peluang berinovasi untuk meneruskan perniagaan mereka?

Bagaimanakah dengan keluhan PKS terutama perusahaan mikro yang masih tidak dapat meneruskan perniagaan? 

Bagaimanakah mereka berupaya membuat jualan apatah lagi meningkatkan pendapatan semenjak impak pandemik COVID-19 melanda sehingga kini?

Inilah masanya usahawan PKS dan para peniaga kecil untuk membuka minda, mempelajari dan mengadaptasi teknologi serta sanggup mengambil risiko menjalankan aktiviti perniagaan seiring dengan perubahan persekitaran.

Digitalisasi adalah penggunaan teknologi digital untuk mengubah model perniagaan dan memberi peluang baharu dan menghasilkan nilai kepada pelanggan dan peniaga.

Inisiatif ini adalah satu proses yang memerlukan perancangan dan pelaksanaan berterusan melalui pelbagai aktiviti dalam pelbagai aspek perniagaan.

PKS haruslah berani untuk beralih ke perniagaan digital. Beberapa aspek perniagaan utama yang boleh diubah suai menggunakan teknologi digital adalah seperti berikut: pengiklanan, pengambilan tempahan, pembayaran dan perhubungan pelanggan.

Walaupun tidak keterlaluan dikatakan ramai peniaga kecil yang sudahpun menggunakan platform media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, YouTube dan lain-lain lagi, namun penggunaan platform media sosial tersebut dalam kalangan peniaga kecil rata-rata hanyalah untuk membuat pengiklanan atau memujuk pelanggan melalui promosi jualan.

Di sinilah pengetahuan mengenai perancangan dan taktik pemasaran digital diperlukan bagi membolehkan peniaga melakukan perniagaan dengan berkesan.

Antara kelemahan utama peniaga kecil adalah menyangkakan bahawa hanya iklan dan promosi jualan di dalam platform media sosial sahaja yang diperlukan untuk memenangi pelanggan.

Oleh itu, rata-rata kita dapati pengiklanan dan promosi jualan yang dilakukan adalah tidak berkesan kerana terdapat terlalu ramai pesaing yang menggunakan taktik yang sama.

Tambah menyukarkan lagi, apabila peniaga kecil sentiasa berlumba untuk menurunkan harga atau meletakkan harga yang lebih rendah daripada pesaing sehingga tidak langsung membuat keuntungan.

Jadi, digitalisasi dalam kalangan usahawan PKS adalah sangat diperlukan, namun harus dilakukan secara strategik untuk memberikan impak berkesan terhadap jualan dan perniagaan secara keseluruhan.

Peniaga mestilah menetapkan objektif tertentu untuk kempen pemasaran digital yang ingin dilakukan. Sebagai contoh, objektif peniaga adalah untuk menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 20 peratus dalam masa tiga bulan.

Maka, dalam tempoh tiga bulan tersebut, perancangan dibuat untuk menggunakan platform media sosial untuk memberitahu, mengingatkan dan memujuk pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu.

Hal ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti merangkumi pengiklanan dan promosi jualan, iaitu dengan mengadakan iklan berbentuk iklan memberitahu, iklan mengingatkan dan iklan memotivasi pembelian.

Pada masa sama, jualan promosi seperti promosi pengenalan dan promosi belian himpunan (price bundling) diadakan sekali atau dua kali dalam tempoh tersebut.

Taktik “copywriting” seperti “soft sell”,“upsell”, “bulk sell” dan “hard sell” digunakan dengan berhemat supaya pelanggan atau audiens sasaran tidak rasa dipaksa membeli.

Melalui pelbagai taktik pemasaran digital, peniaga boleh menarik perhatian pelanggan, menguar-uarkan maklumat produk dan mengenengahkan perbezaan produk  berbanding produk pesaing dan meyediakan sistem tempahan yang mesra pelanggan.

Peniaga juga harus melabur di dalam platform pembayaran dalam talian. Pada masa yang sama, hubungan dengan pelanggan boleh ditingkatkan melalui komunikasi dalam talian dan kolaborasi dengan organisasi pengantara logistik.

Insentif kepada pengantara juga perlu diberikan supaya produk dapat dihantar kepada pelanggan mengikut terma yang telah dipersetujui. 

Pemasaran digital juga adalah sangat berkesan bagi tujuan membangunkan hubungan dengan pelanggan dan mewujukan pelanggan setia untuk jangka masa panjang. 

Dengan perancangan yang teliti, kempen promosi digital boleh membantu pengusaha mencapai objektif untuk meningkatkan jualan sebanyak 20 peratus dalam tiga bulan seperti contoh yang diberi.

Tuntasnya, digitalisasi adalah suatu keperluan bagi PKS mengharungi persekitaran perniagaan sekarang dan di masa hadapan.

PKS dan perusahaan mikro harus menimba ilmu dan melaksanakan strategi dan taktik berlandaskan teknologi digital.

Usaha ini bukan sahaja demi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan, bahkan mampu menambah pendapatan lumayan  terutama dalam mengharungi norma baharu dunia sekarang.

Pemasaran keusahawanan (entrepreneurial marketing) iaitu pengenalpastian dan eksploitasi peluang yang proaktif di kalangan usahawan PKS adalah perlu bagi memperoleh dan mengekalkan pelanggan yang menguntungkan melalui pendekatan inovatif dalam pengurusan risiko, memanfaatkan sumber daya dan penciptaan nilai.



Penulis ialah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM


Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI