KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini mencatatkan sejarah apabila melancarkan Rangkaian Persendirian 5G Komersial pertama di negara ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, rangkaian itu dijangka dapat membantu meningkatkan sambungan digital terutama kepada usahawan tempatan.

"Pelaksanaan Rangkaian Persendirian 5G Petronas berfungsi sebagai bukti komitmen Petronas untuk kekal di barisan hadapan kemajuan teknologi.

"Sebagai pemain global bagi sektor tenaga yang terkemuka, Petronas menunjukkan contoh yang terbaik dengan mengiktiraf potensi transformasi rangkaian 5G.

"Ia bukan sahaja mengoptimumkan operasi dalaman Petronas, tetapi memangkin perubahan seluruh industri. Dalam usaha kita memanfaatkan teknologi untuk inovasi dan kemajuan masyarakat, Malaysia perlu kekal komited terhadap pelaburan yang besar dalam infrastruktur digital," katanya.

Mengulas lanjut jelas Fadillah, rangkaian persendirian 5G komersial itu turut disokong oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dibawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Sehingga kini, rangkaian 5G di Malaysia telah mencapai liputan 70.2 peratus di kawasan berpenduduk, dengan pengguna sebanyak 2.49 juta pelanggan.

Bagaimanapun ujarnya, jumlah itu akan dapat ditingkatkan selari dengan sasaran 80 peratus menjelang hujung tahun ini.

"Sehingga September 2023, rangkaian 5G Malaysia liputan di kawasan berpenduduk berjumlah 70.2 peratus, dengan langganan 5G berjumlah 2.49 juta, diterjemahkan kepada 7.4 peratus kadar penembusan.

"Malaysia juga telah menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk daripada Opensignal dan Ookla, yang telah menamakan Malaysia sebagai peneraju global dalam sambungan 5G dengan rangkaian yang pantas dan boleh dipercayai, memberikan pengalaman 5G yang hebat untuk pengguna.

"Kita berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 80 peratus liputan rangkaian 5G
di kawasan berpenduduk pada penghujung 2023 sebelum beralih daripada rangkaian borong tunggal kepada model rangkaian dwi," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Rangkaian Persendirian 5G Komersial Pertama di Malaysia oleh Petronas di ibu negara pada Jumaat.

Hadir sama menyaksikan perasmian itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.