Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua ini didorong terutamanya oleh peningkatan ketara dalam perbelanjaan isi rumah dan pasaran buruh yang kukuh.
“Peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024, serta pengeluaran Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Selain itu, beliau berkata, faktor seperti kemasukan pelancong yang ketara, peningkatan pelaburan modal tetap, dan kemajuan projek berskala besar bagi pusat data telah memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia.
“Pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua tahun 2024 didorong terutamanya oleh sektor Perkhidmatan dan Pembuatan.”
Menurut beliau, dari segi pelarasan musim suku ke suku, KDNK meningkat sebanyak 2.9 peratus pada suku ini.
“Sejajar dengan itu, prestasi ekonomi bulanan meningkat 6.2 peratus pada April, meningkat 5.9 peratus pada Mei dan bertumbuh perlahan kepada 5.6 peratus pada Jun 2024.”
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Julai berkata, negara telah berjaya memecah 'tembok kerungsingan' apabila mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.8 peratus pada suku kedua 2024.
Menurut beliau, pertumbuhan yang menakjubkan itu merupakan angka luar biasa, melebihi unjuran yang dikemukakan oleh semua pihak.