Menurut laporan APEC Regional Trends Analysis (Analisis Trend Serantau APEC) pada Ogos, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau berkenaan untuk 2024 adalah konsisten dengan kadar pertumbuhan yang dicatatkan pada 2023.
Bagaimanapun, penurunan sedikit dijangkakan untuk 2025 dengan pertumbuhan dijangka berkurangan kepada 3.1 peratus, menandakan peningkatan daripada unjuran awal pada Mei sebanyak 2.9 peratus.
Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC Carlos Kuriyama berkata walaupun kadar pertumbuhan mungkin berbeza di seluruh rantau ini, komitmen kolektif untuk mengawal inflasi dan menerima pakai dasar monetari berhemat adalah penting.
"Pertumbuhan kukuh kita saksikan di seluruh rantau APEC walaupun terdapat ketidaktentuan global adalah bukti kepada daya tahan dan kebolehsesuaian ekonomi kita.
"Dalam mengharungi cabaran yang kompleks, komitmen APEC terhadap dasar ekonomi kukuh dan kerjasama serantau akan menjadi kritikal dalam mengekalkan momentum ini dan memupuk kemakmuran jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.
Ekonomi APEC telah menyaksikan kejayaan ketara dalam menyederhanakan inflasi dengan kadar inflasi purata menurun kepada 2.8 peratus pada Jun 2024, turun daripada 5.9 peratus pada Januari 2023.
Pengurangan ini menekankan keberkesanan dasar monetari yang dilaksanakan di seluruh rantau ini, kata laporan itu.
Sementara itu, prestasi perdagangan dalam rantau APEC berkembang dengan eksport barangan pada suku pertama 2024 meningkat sebanyak 3.9 peratus dalam volum dan 1.6 peratus dalam nilai berbanding tempoh sama pada 2023.
Laporan itu juga menekankan bahawa rantau ini sedang bergelut dengan ketegangan perdagangan, yang telah membawa kepada peningkatan ketara dalam sekatan dan remedi perdagangan seperti anti-lambakan dan duti timbal balas.
Gangguan dalam rantaian bekalan yang berterusan juga telah meningkatkan kos dan masa mengangkut barangan merentasi sempadan, memberikan tekanan tambahan pada harga, katanya.
Sehubungan itu, laporan itu mencadangkan bahawa dasar ekonomi strategik dan kerjasama antarabangsa dijangka memainkan peranan penting dalam menangani isu tersebut.
Negara anggota APEC digalakkan untuk menyesuaikan dasar monetari dengan berhati-hati, membina semula penampan fiskal, dan meneroka alternatif dasar yang meningkatkan hubungan perdagangan tanpa menyekat perdagangan dan pelaburan, katanya.
-- BERNAMA