KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi untuk merapatkan jurang kemahiran antara tenaga kerja, yang merupakan "cabaran paling penting dalam era kita," kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kementeriannya "tidak pernah mengalihkan perhatiannya daripada kepentingan permintaan agregat, penciptaan perniagaan, inovasi, dan memilih pertumbuhan tinggi, industri bernilai tinggi untuk melabur."

"Walau apa pun versi pekerjaan pada masa depan, ia hanya akan dilihat meyakinkan jika terdapat enjin pertumbuhan yang mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

"Justeru, pertumbuhan ekonomi merupakan faktor utama - yang menjadi keperluan asas - kepada kementerian ini," katanya ketika berucap pada perasmian Deloitte South East Asia (SEA) Regional Capability Centre, di sini hari ini.

Beliau berkata bahawa "latihan semula dan pembangunan tenaga kerja juga perlu ditingkatkan ke skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini."

Memetik laporan terkini Bank Dunia mengenai jurang kemahiran antara tenaga kerja yang besar, Rafizi menyatakan bahawa "untuk kita menjadi setara dengan negara-negara OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi) maju dari segi kemahiran, kita perlu mewujudkan dua juta lagi pekerjaan berkemahiran tinggi."

Beliau berkata ia merupakan cabaran global yang masih dihadapi oleh banyak negara.

"Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan melancarkan satu siri inisiatif untuk memudahkan akses kepada program peningkatan kemahiran pada skala besar supaya kami dapat mengurangkan ketidakseimbangan permintaan bekalan," katanya.

Selain itu, Rafizi berkata persekitaran yang menyokong mobiliti tenaga kerja juga perlu diwujudkan kerana ia tidak mencukupi hanya sekadar melatih namun tidak memikirkan cara meletakkan kemahiran tenaga kerja yang sesuai dalam pekerjaan yang tepat.

Rafizi berkata perancangan terhadap tenaga kerja harus aktif dan bersungguh-sungguh, dan Malaysia mesti menyesuaikan dan mencabar kepercayaan terhadap faktor yang menjadikan seorang pekerja yang baik.

Katanya, dengan mengambil pendekatan yang mengutamakan kemahiran dan membolehkan tenaga kerja tempatan berkhidmat di rantau ini ia akan menangani masalah struktur ekonomi dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan rantaian nilai.

-- BERNAMA