Tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjual aset tenaganya kepada firma China, tidak akan memberi sebarang impak kepada pasaran.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, ini berikutan sistem kewangan negara yang sememangnya luas.

Tambah beliau pasaran tukaran asing Malaysia besar dan transaksi tunggal tidak memberi impak kepada pasaran.

"Sistem kita sangat besar dan pasaran kita luas. Oleh itu, satu transaksi tidak akan memberi impak kepada pasaran. Hanya transaksi kumulatif akan memberi impak kepada pasaran" kata beliau.

Zeti turut menyifatkan sistem perbankan Malaysia baik serta kukuh dengan penampan modal yang besar, manakala susut nilai pinjaman pula rendah sebanyak 1.5 peratus.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kemungkinan impak yang berlaku susulan pembelian Edra oleh China General Nuclear Power bernilai RM9.83 bilion.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz secara ringkas berkata, BNM belum lagi mendapat peluang untuk berkomunikasi dengan dua bekas eksekutif 1MDB.

Kedua-dua bekas eksekutif ini berada di dalam senarai dikehendaki bagi penyiasatan 1MDB yang dikeluarkan Julai lepas.

Pada 24 Julai lalu, Bank Negara meminta orang ramai memberikan maklumat tentang lokasi bekas eksekutif 1MDB, Casey Tang dan Jasmine Loo bagi membantu siasatan terhadap 1MDB.

"Kita belum lagi mendapat peluang berkomunikasi dengan mereka" kata beliau.

Tang dan Loo berada dalam senarai individu dikehendaki Bank Negara untuk membantu siasatan berhubung Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.

Tambah beliau, penyiasatan 1MDB oleh Bank Negara sudah selesai.

Bagaimanapun beliau enggan menggulas lanjut mengenai penyiasatan tersebut.

"Kita sudahpun selesai penyiasatan. Kini terdapat perkembangan terhadap tindakan yang diambil berkaitan beberapa kelulusan yang diberikan kepada mereka. Saya tidak boleh menggulas lanjut tentang pekara ini sehingga kesimpulan dibuat" kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas Persidangan Kemuncak Tenaga Kepemimpinan ICLIF Asia 2015 di Sasana Kijang.