KUALA LUMPUR: Mempercepatkan transformasi digital mesti diseimbangkan dengan pelaburan dan langkah-langkah keselamatan siber yang proaktif dan berkesan untuk memastikan kesinambungan perniagaan, menurut firma perisian keselamatan siber Trend Micro.

Mengulas mengenai Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat, Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia Goh Chee Hoh berkata peruntukan RM10 juta untuk menambah baik operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) adalah langkah yang dialu-alukan untuk menangani masalah penipuan dalam talian yang semakin meningkat, dengan 25,000 kes direkodkan pada 2022 menelan belanja RM850 juta di Malaysia.

"Ini adalah penting untuk terus mengukuhkan daya tahan keselamatan siber negara dengan menambah baik keupayaan pemantauan, pengesanan dan pelaporan jenayah siber," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau berkata adalah sesuatu yang mengujakan apabila melihat komitmen berterusan kerajaan mendigitalkan agensi awam bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan pengkomputeran awan, dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) mengambil langkah strategik menaik taraf perkhidmatan awan hibrid MyGovCloud.

Dalam pada itu menurut Goh, walaupun pendigitalan akan membawa peningkatan peluang pertumbuhan, ia juga akan menjurus kepada meningkatnya kemunculan serangan digital.

"Keselamatan siber sepatutnya (sekiranya belum) perlu berada di tempat teratas pelan pertumbuhan perniagaan dan peruntukan untuk semua organisasi terutamanya perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA