KUALA LUMPUR: Kalangan pelabur asing menjadi pembeli bersih sekuriti hutang Malaysia bernilai RM6.1 bilion pada Disember 2021, sebulan selepas jualan bersih pada November yang berjumlah RM3.6 bilion.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga Investment), jumlah pegangan hutang asing meningkat kepada RM256.6 bilion berbanding RM250.4 bilion pada November 2021 manakala jumlah hutang belum dijelaskan meningkat kepada 14.8 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh tujuh bulan.

Dalam nota tinjauannya pada Selasa, bank pelaburan itu menyifatkan permintaan tersebut berkemungkinan besar didorong oleh kemunculan semula minat terhadap risiko di peringkat global apabila kebimbangan mengenai Omicron mulai reda berikutan laporan bahawa impaknya yang kurang serius berbanding varian COVID-19 lain.

“Malah, bon domestik ternyata mengekalkan perbezaan hasil yang ketara berbanding kebanyakan bon pasaran negara maju yang menjadikannya lebih menarik walaupun terdapat pelaksanaan dasar monetari ketat oleh bank-bank pusat utama.

“Aliran masuk dana pada Disember itu dipacu oleh peningkatan bersih pegangan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang mengatasi kenaikan perlahan pegangan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB),” katanya.

Bagi pasaran ekuiti, pelabur asing menjadi penjual bersih -- tindakan pertama dalam tempoh lima bulan dengan menjual saham bernilai RM1.1 bilion berbanding pembelian bersih RM200 juta pada November lepas.

Menurut Kenanga Investment, permintaan terhadap ekuiti berkemungkinan dikekang oleh ketidakpastian mengenai varian Omicron serta kecenderungan pihak Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah dalam usahanya mempercepatkan langkah mengurangkan proses pembelian aset.

Secara keseluruhannya, pasaran modal tersebut mencatatkan aliran masuk dana terbesar dalam tempoh empat bulan yang berjumlah RM5 bilion.

Bagi kemajuan masa depan, bank pelaburan itu berpendapat bahawa pasaran hutang kekal berisiko menyaksikan aliran keluar dalam masa terdekat apabila Fed AS memperketatkan lagi dasar monetari.

Hasil purata nota Perbendaharaan AS 10 tahun susut enam mata asas (bps) kepada 1.45% pada Disember 2021 manakala hasil purata MGS 10 tahun kekal pada 3.55%.


*Berita asal di DagangNews.com