GEORGE TOWN: Malaysia berfungsi sebagai pintu masuk kepada pelabur asing di rantau ASEAN termasuk syarikat dari Sweden untuk menjalankan perniagaan, kata Duta Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom.

Beliau berkata Malaysia terus menarik syarikat Sweden kerana kestabilan politik negara, taraf hidup yang baik dan penguasaan bahasa Inggeris meluas.

"Kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia berada pada kedudukan sangat tinggi untuk syarikat Sweden. Ia agak berpatutan untuk beroperasi dan juga pintu masuk kepada ekonomi lain di rantau ASEAN. Jadi menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk untuk beroperasi dengan lebih luas, ia sangat menarik.

"Pulau Pinang juga merupakan tempat hebat dan mempunyai tarikan budaya, warisan, makanan, celik huruf dan kawasan pelaburan yang sangat menarik untuk industri Eropah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Resepsi Koktel sempena Mesyuarat Serantau Duta Sweden ke Negara-negara ASEAN di sini, semalam.

Bergstrom berkata Pulau Pinang dan Sweden mempunyai hubungan erat yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang termasuk kemampanan, peralihan hijau, pendigitlan, pengangkutan dan pembuatan.

"Kita mempunyai beberapa syarikat Sweden di rantau ini di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah. Ia benar-benar kawasan di Malaysia yang menarik lebih banyak pelaburan dan minat daripada industri Sweden," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulai Pinang Chow Kon Yeow berharap kerjasama dengan negara-negara Scandinavia khususnya Sweden, bagi meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia dan Asia Tenggara.

"Saya gembira Pulau Pinang mampu menarik pelaburan dari seluruh dunia termasuk Sweden dan negara-negara Nordic. Bagi kerajaan Malaysia, tidak kira di peringkat kebangsaan atau negeri, kita mempunyai banyak perkara perlu diusahakan khususnya berkaitan pembangunan bakat," katanya.

Pada masa ini, terdapat lebih 80 syarikat Sweden aktif yang berpangkalan di Malaysia, dengan hampir 9,000 pekerja berkhidmat bersama tenaga kerja tempatan untuk meningkatkan akses kepada tenaga hijau.

Pelaburan Sweden di Malaysia berjumlah US$500 juta, menjadikan Malaysia sebagai satu daripada penerima terbesar pelaburan Sweden.

-- BERNAMA