KUALA LUMPUR: Prestasi merudum yang merentasi pasaran saham serantau turut mengheret turun Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin, didahului saham-saham teknologi berikutan kebimbangan berlakunya kemelesetan di Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Sentimen negatif menular di semua pasaran serantau dengan asakan paling teruk di pasaran Nikkei 225 Jepun yang menjunam lebih 4,000 mata atau 12 peratus.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 74.57 mata atau 4.62 peratus kepada 1,536.48 daripada 1,611.05 pada Jumaat.

Indeks penanda aras itu dibuka turun 17.69 mata kepada 1,593.36 -- paling ketara hari ini sebelum susut serendah 1,532.24 pada sesi dagangan tengah hari.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 1,658 berbanding 83 manakala 131 kaunter tidak berubah, 533 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan melonjak kepada 9.26 bilion unit bernilai RM7.97 bilion daripada 5.17 bilion unit bernilai RM3.98 bilion pada Jumaat.

Paras jumlah dagangan tertinggi sebelum ini adalah 12.66 bilion pada 17 Mac, 2021.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun tanda-tanda ekonomi AS yang kurang memberangsangkan itu dijangkakan, ini tidak diendahkan sebahagian besar komuniti pelaburan yang sebaliknya menumpukan rekod Wall Street sejak awal tahun ini.

Malah, data ekonomi AS seperti pertumbuhan pekerjaan AS lebih perlahan lebih daripada jangkaan pada Julai manakala kadar penganggurannya terus meningkat kepada 4.3 peratus berbanding 4.1 peratus pada Jun.

"Tanpa membuat andaian seterusnya, kami yakin tiba masanya untuk mempertimbang pendekatan 'pembelian ketika lemah' apabila aktiviti jualan yang ketara di Bursa Malaysia," katanya kepada BERNAMA.

Beliau juga menjangkakan pasaran tempatan akan mendapat sokongan pada tahap semasa, terutama apabila Syarikat Pelaburan berkaitan Kerajaan mengurangkan pegangan ekuiti asing mereka sejak awal tahun ini.

"Walaupun pasaran AS menghadapi pelbagai cabaran, kami melihat keadaan ini sebagai peluang untuk memanfaatkan kelemahan (saham)," katanya.

Justeru, beliau berkata paras sokongan terhadap FBM KLCI dijangka pada 1,530 dan seterusnya 1,500.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi AS yang lembap akan terus menjadi perhatian ramai.

Namun, pihaknya berpendapat sebarang penurunan selanjutnya mungkin memberi peluang kepada pelabur jangka panjang untuk memburu saham-saham yang telah terjejas.

"Pelabur akan memantau data Indeks Pengurus Pembelian Bukan Pembuatan (PMI) ISM AS lewat malam ini," katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Nikkei Jepun merudum sebanyak 4,451.28 mata atau 12.40 peratus kepada 31,458.42; Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.46 peratus kepada 16,698.36, Indeks Shanghai SSE Composite merosot 1.54 peratus kepada 2,860.70, Indeks STI Singapura jatuh 4.07 peratus kepada 3,243.67 manakala Indeks Komposit IDX Indonesia berkurangan 3.40 peratus kepada 7,059.65.

Bagi bursa tempatan pula, sejumlah 19 syarikat di bawah jualan singkat intra hari (IDSS) telah digantung sepanjang hari ini berikutan harga terakhir sekuriti diluluskan turun melebihi 15 peratus/15 Sen daripada harga rujukan.

Antara syarikat terbabit adalah SP Setia, Mah Sing dan Sime Darby Property.

Dalam kenyataannya, Bursa Malaysia berkata jualan singkat di bawah IDSS bagi syarikat-syarikat berkenaan akan hanya diaktifkan di hari dagangan berikutnya pada 8.30 pagi, Selasa 6 Ogos, 2024.

Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia menyaksikan Maybank turun 34 sen kepada RM9.90; Public Bank susut 15 sen kepada RM4.13; Tenaga Nasional merosot 80 sen kepada RM13.16; CIMB berkurangan 39 sen kepada RM7.01 dan IHH Healthcare rugi 18 sen kepada RM6.07.

Bagi saham aktif, MY E.G susut 14.5 sen kepada 82.5 sen; Velesto Energy turun dua sen kepada 19.5 sen; WCT berkurangan 14 sen kepada 98 sen; Top Glove rugi 9.5 sen kepada 88.5 sen manakala Pegasus Heights tidak berubah pada satu sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 697.60 mata kepada 11,605.90; Indeks FBMT 100 susut 647.59 mata kepada 11,272.36; Indeks FBM Emas Shariah kehilangan 779.28 mata kepada 11,668.87, Indeks FBM ACE turun 515.33 mata kepada 4,955.08, dan Indeks FBM 70 menguncup 1,325.91 mata kepada 16,576.89.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 684.84 mata kepada 17,546.75; Indeks Tenaga turun 76.44 mata kepada 852.71; Indeks Perladangan susut 254.97 mata kepada 6,888.64; Indeks Teknologi berkurangan 6.50 mata kepada 64.81 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 14.37 mata kepada 171.13.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama melonjak kepada 6.16 bilion unit bernilai RM7.38 bilion daripada 3.22 bilion unit bernilai RM3.59 bilion pada Jumaat.

Perolehan waran meningkat kepada 1.59 bilion unit bernilai RM150.87 juta daripada 1.10 bilion unit bernilai RM128.67 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan melonjak kepada 1.49 bilion saham bernilai RM436.90 juta daripada 847.38 juta saham bernilai RM260.33 juta pada Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 875.10 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (1.20 bilion); pembinaan (697.09 juta); teknologi (773.16 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (305.83 juta); hartanah (904.86 juta); perladangan (66.31 juta); REIT (49.62 juta); dana tertutup (187,700); tenaga (532.24 juta); penjagaan kesihatan (237.31 juta); telekomunikasi dan media (107.98 juta); pengangkutan dan logistik (181.28 juta); utiliti (225.02 juta) dan unit amanah perniagaan (2.40 juta).

-- BERNAMA