KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini, dipacu oleh peningkatan pasaran niaga hadapan getah serantau dan sentimen yang lebih baik, tercetus akibat gangguan bekalan berikutan keadaan cuaca di Thailand, kata seorang peniaga.

Beliau berkata kebimbangan terhadap musim hujan yang melanda negara pengeluar utama Thailand terus menyokong pasaran.

"Jabatan Meteorologi Thailand telah memberi amaran mengenai hujan lebat di utara dan selatan negara itu, yang berpotensi menjejaskan bekalan getah asli.

"Hujan lebat dan air yang bertakung boleh menyebabkan banjir kilat dan limpahan air, terutama di sepanjang kaki bukit berhampiran laluan air dan tanah pamah," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan selanjutnya dalam harga getah dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah penanda aras dan kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi China.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik 11.5 sen kepada 784.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok satu sen kepada 627.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk fizikal SMR 20 berada pada 781.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 627.0 sen sekilogram.

-- BERNAMA