KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Isnin berikutan aliran peningkatan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau selain kenaikan penanda aras harga minyak mentah di tengah-tengah data ekonomi China yang bercampur-campur, kata seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun mencecah paras tertinggi dalam 13 tahun, disokong oleh yen yang lebih lemah dan harga minyak yang lebih tinggi.

"Namun, kenaikan selanjutnya telah dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar US serta tekanan daripada krisis Timur Tengah," kata peniaga itu kepada Bernama.

Sentimen itu juga dirangsang oleh gangguan bekalan akibat keadaan cuaca buruk di Thailand termasuk jangkaan rangsangan ekonomi selanjutnya dari China.

Beliau berkata agensi meteorologi di negara pengeluar getah terkemuka, Thailand memberi amaran hujan lebat yang mungkin menyebabkan banjir kilat dari 29 Sept hingga 5 Okt.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan bahawa harga SMR 20 turun sebanyak 21.5 sen kepada 865 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok 2.5 sen kepada 712.50 sen sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 893.50 sen sekilogram, manakala, lateks pukal pada 715.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA