Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin CIMB Group, bank pelaburan terbesar berpangkalan di Asia Pasifik, dapat memainkan peranan yang aktif dalam pembangunan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Beliau berkata CIMB merupakan satu daripada kisah yang paling berjaya dalam sejarah korporat Malaysia dan juga majikan utama di negara ini.

"Saya harap perniagaan Malaysia lain akan mengambil aspirasi daripada cerita CIMB, yang mereka juga tidak akan menjadi jaguh kampung, tetapi berazam untuk menjadi juara serantau, membawa negara ke pasaran baharu.

"Sebagai sebuah institusi perbankan sejagat berintegriti dan bereputasi, ia menyediakan kestabilan kepada negara dan rantau ini," katanya pada pelancaran Menara CIMB, ibu pejabat baharu kumpulan perbankan serantau itu, yang juga merupakan ulang tahun ke-40 bank tersebut.

Turut hadir Pengerusi CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Panel Penasihat Antarabangsa CIMB Group Tun Musa Hitam.

Nazir berkata bangunan baharu itu menandakan pencapaian besar kumpulan dan turut melambangkan integrasi ekonomi ASEAN.

"Di luar Malaysia, kita mencipta rekod yang disegani ramai dengan mewujudkan platform baharu di Asean dan di luar rantau itu.

"Setiap sudut di Menara CIMB menggambarkan kepelbagaian rantau ini," katanya dalam ucapan aluannya.

Menara CIMB merupakan simbol kepada pertumbuhan mampan CIMB, dan kedudukannya sebagai syarikat Asean berpandangan ke hadapan, katanya.

CIMB, kumpulan perkhidmatan kewangan kelima terbesar di ASEAN, bank pelaburan terbesar Asia Pasifik yang juga peneraju dunia dalam kewangan Islam.

CIMB mempunyai lebih 41,000 kakitangan di 18 negara dan jumlah aset melebihi AS$120 bilion (RM407.46 bilion).