Dalam satu kenyataan, MyCEB memaklumkan acara itu mengetengahkan tawaran dinamik Malaysia sebagai destinasi utama perniagaan di Asia.
Pameran yang berlangsung di Fira Barcelona Gran Via dari 19 hingga 21 November itu menyediakan platform penting bagi MyCEB untuk menyerlahkan kekuatan Malaysia dalam inovasi industri, kelestarian dan sektor acara perniagaan untuk terus berkembang.
Pengarah Pembangunan Perniagaan MyCEB, Noor Azlan memaklumkan, objektif syarikat adalah untuk mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi global pilihan dalam acara perniagaan.
“IBTM World membolehkan kami berkongsi kemampuan pelbagai Malaysia dengan komuniti antarabangsa, membina hubungan yang berharga, dan menjana peluang perniagaan yang berimpak tinggi.
“Kami fokus untuk mendapatkan kerjasama baharu, memperkukuh yang sedia ada, serta memacu pertumbuhan ekonomi melalui platform ini,” katanya.
Mengulas lanjut, sebagai lokasi yang menghimpunkan lebih 12,000 peserta dan 2,650 pembeli jemputan dari seluruh dunia, IBTM World memberi peluang MyCEB dan rakan pamerannya peluang membina rangkaian dan pembangunan perniagaan yang tidak ternilai.
Salah satu acara utama penyertaan MyCEB tahun ini adalah pelancaran Kempen MyTripleE 2.0, yang diumumkan semasa Majlis Perasmian Potong Riben di Pavilion Malaysia.
MyTripleE 2.0 memperkasa kempen awal yang berjaya berkembang mendefinisikan semula sektor acara perniagaan Malaysia melalui tiga inisiatif utama: Excel, Elevate, dan Enliven.
Setiap inisiatif menyasarkan pasaran serantau dan antarabangsa, dengan MyCEB menyediakan sokongan kewangan dan bukan kewangan kepada pemohon yang layak.
Melalui MyTripleE 2.0, MyCEB bertujuan melibatkan lebih banyak pihak berkepentingan dan meningkatkan daya saing Malaysia, membolehkan pertumbuhan dan kelestarian sektor ini dalam industri acara perniagaan global.