KUALA LUMPUR:
Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) memeterai kerjasama strategik dengan ejen pelancongan antarabangsa, ACMAR Marketing Xiamen yang merupakan anak syarikat ACMAR Group.

Jalinan bermakna ini dirasmikan dengan acara menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Azman Tambi Chik dengan Pengarah Urusan Kumpulan ACMAR Group, Datuk Steven Tee, JP, ketika lawatan tiga hari MyCEB ke kota itu.

“Kolaborasi ini memperkukuh keberadaan MyCEB dan Malaysia dalam pasaran China yang menjanjikan, secara spesifik untuk komuniti perniagaan Xiamen.

“MoC yang ditandatangani tidak hanya menandakan kebanggaan nasional antara dua entiti Malaysia tetapi juga sebagai langkah bermakna menuju pupukan kerjasama bilateral serta melonjak peluang-peluang acara perniagaan di rantau terbabit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Azman Tambi Chik.

ACMAR Group dikenali dengan projek-projeknya seperti hotel, Bangunan Budaya Antarabangsa Xiamen dan banyak lagi, juga memiliki pegangan pelaburan dalam aset tetap seperti komersial, kediaman, juga hartanah lain.

Dengan pijakan kuatnya di Xiamen, ACMAR Group membawa kepakaran serta sumber tidak ternilai yang dirangka untuk bersinergi dengan visi MyCEB mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi acara-acara perniagaan.

MoC tersebut menggariskan beberapa siri aktiviti pemasaran bersama yang bermatlamat menggamit perhatian pasaran China, perkongsian risikan pasaran, memudahcarakan pertukaran pengetahuan dan membangunkan bersama peneraju perniagaan serta memupuk peluang-peluang kerjasama untuk sektor swasta.

AMCAR Marketing Xiamen akan memainkan peranan sebagai saluran menghubungkan MyCEB dengan rakan seangkatan perniagaan di China, memperkemas komunikasi dan memupuk perkongsian yang memanfaatkan kedua-dua pihak.

“MoC tersebut memanfaatkan rangkaian dan cerapan yang luas untuk kedua-dua organisasi, dengan MyCEB berupaya mempamerkan fasiliti Malaysia yang berkelas dunia, budaya unik serta hospitaliti yang tiada tandingan.

“ACMAR teruja untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini dengan menyokong MyCEB menerusi jejak kami dan bermatlamat untuk memacu pertumbuhan serta kemakmuran bersama antara Malaysia dengan China,” kata Pengarah Urusan Kumpulan ACMAR Group, Datuk Steven Tee, JP.

Kedua-dua pihak komited untuk menerapkan strategi-strategi pemasaran inovatif serta memupuk kerjasama jangka panjang bagi mencapai objektif yang dikongsi bersama, tidak hanya menggalakkan pelancongan dan pelaburan tetapi juga memperhebat pertukaran budaya serta hubungan bilateral antara kedua-dua negara.

Selain MoC, MyCEB juga menjalankan perbincangan dengan Pusat Pameran dan Persidangan Antarabangsa Xiamen; para Pengerusi Xiamen Welleast Smart City Technology Co., Ltd., dan C&D Global Tourism Group Co. Ltd.; serta Presiden Persatuan Pelancongan Xiamen.

Daripada pertemuan-pertemuan ini, Malaysia melihat ke hadapan untuk memupuk kerjasama yang lebih kuat, memperluas capaian pasaran, serta mempertingkat hubungan bilateral, dengan itu mengangkat peluang-peluang acara-acara perniagaan, pelancongan serta sektor swasta antara Malaysia dengan China.