Pelabur tempatan masih kurang pendedahan dan kesedaran mengenai infrastruktur dan produk pelaburan patuh syariah yang disediakan di negara ini.

Menurut Presiden Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM) Norizam Tukiman, kebanyakan pelabur Muslim di negara ini sering menceburi pasaran saham tanpa mempunyai pengetahuan atau strategi pelaburan yang berkesan.

Justeru menurut beliau, Ekspo Pelaburan Dan Bursa Saham Malaysia (MISEE) tahun ini mensasar untuk meningkatkan kesedaran berkenaan mekanisme pelaburan patuh syariah yang tersedia di negara ini.

MISEE 2015 merupakan forum yang mengumpulkan syarikat-syarikat tersenarai awam di samping agen pelaburan serta badan penguatkuasaan termasuk Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

Ia mula dianjurkan sejak 2013 dan bertujuan meningkatkan pendidikan dalam kalangan orang awam berkenaan pelaburan dan hal ehwal kewangan.

Menurut Norizam pendedahan masyarakat tentang pelaburan kini sudah meningkat walaubagaimanapun, pelabur tempatan kini masih tidak mengamalkan strategi yang baik ketika melabur.

“Kebanyakan pelabur hari ini hanya membeli saham atas nama sesebuah syarikat itu, atau sebab mengikuti tips orang lain. Ada juga mereka yang membeli saham berdasarkan kepada ‘quote’ syarikat sahaja,” kata beliau dalam sidang media di Bangunan Bursa Malaysia di ibu negara hari ini.

Beliau berkata melalui MISEE, PPSMM akan mendedahkan pelabur untuk mengenali sesuatu syarikat itu sebelum memiliki sahamnya.

“Bila kita melabur kita kena tahu, syarikat itu berniaga apa, bagaimana sejarah prestasinya dan sebagainya, jadi ini matlamat kita untuk mendidik pelabur semua perkara ini,” tambahnya.

Di samping itu MISEE 2015 juga akan disertai pakar pelaburan patuh syariah bagi menjelaskan sebarang persoalan atau keraguan pelaburan dari perspektif hukum Islam.

Tahun ini MISEE turut menyaksikan peningkatan penyertaan syarikat iaitu sebanyak 20 peratus dari jumlah keseluruhan syarikat patuh syariah yang tersenarai di papan Bursa Malaysia.

Ia juga mensasarkan peningkatan bilangan pelawat sekurang-kurangnya 40,000 orang tahun ini berbanding 30,000 orang tahun lalu.

Sementara itu, Norizam berkata Malaysia berpotensi menjadi hab pelaburan patuh syariah dunia.

Tambahnya Malaysia kini sudah pun menjadi hab makanan halal dunia dan melihat kepada kecenderungan pelabur tempatan dalam aspek patuh syariah kini, negara mampu meneruskan trend ini.

“Kini, Malaysia adalah hab makanan halal. Syarikat-syarikat luar negara pun merujuk kepada Malaysia, kepada entiti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

“Jadi untuk pasaran saham pun dan dengan adanya Bursa Malaysia dalam mengetengahkan hal-ehwal pelaburan syariah, sekarang kita nampak pelabur-pelabur pun sudah mula menekankan kepada aspek syariah,” tambahnya.