KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023), yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, telah mengambil pendekatan yang amat inklusif dengan memberi tumpuan yang tinggi kepada kerjasama strategik dengan kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Ini untuk memastikan penyertaan yang lebih baik daripada syarikat tempatan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan susulan majlis pelancaran tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata edisi ke-19 pameran halal terbesar di dunia itu telah menarik penyertaan sebanyak 34 agensi kerajaan.

Beliau berkata pameran perdagangan itu turut menekankan bahawa tumpuan pengeksport Malaysia perlu melangkaui segmen makanan dan minuman.

Secara keseluruhannya, katanya MIHAS 2023 menampilkan 13 kluster, iaitu makanan dan minuman, teknologi dan pembungkusan makanan, farmaseutikal dan perubatan, pendidikan serta fesyen dan gaya hidup sederhana.

Kluster lain termasuklah e-dagang, peruncitan dan francais, perhotelan dan pelancongan mesra Muslim, perkhidmatan dan penggerak, kewangan Islam dan teknologi kewangan (fintech), media dan rekreasi, kosmetik dan penjagaan diri serta seni dan kraf Islam.

Mohd Mustafa berkata pameran itu turut menampilkan komponen lain, termasuklah program penyumberan antarabangsa, yang menghimpunkan hampir 500 pembeli antarabangsa untuk mengadakan mesyuarat perniagaan fizikal dan maya dengan 822 pengeksport Malaysia.

Beliau berkata pembeli ini termasuklah 11 pembeli premium dari lapan negara, iaitu Australia, Perancis, Hong Kong, Indonesia, Qatar, Thailand, Turki dan United Kingdom.

Mereka mewakili beberapa konglomerat, peruncitan, pusat perolehan antarabangsa terbesar dan pasar raya besar dengan rangkaian di seluruh negara, yang pendapatan terkumpulnya berjumlah AS$28 bilion (AS$1=RM4.68).

Mohd Mustafa berkata sebagai sebahagian daripada pameran itu, hab pengetahuan akan mengadakan sesi bertemu pakar untuk memberikan pandangan mengenai trend, akses pasaran dan keperluan sumber melalui interaksi langsung dengan pembeli premium.

Sesi ini akan dikendalikan oleh pemimpin perniagaan terkemuka yang mewakili dewan perniagaan dan persatuan perdagangan, sekali gus menggariskan peranan MIHAS 2023 sebagai platform untuk menggalakkan pertukaran pengetahuan dan kerjasama.

"Selain itu, MIHAS 2023 akan menampilkan acara MIHAS Awards, yang merangkumi dua kategori utama, MIHAS Excellence Award dan MIHAS Innovative Award, untuk meraikan kecemerlangan dan keunikan pempamer serta produk dan perkhidmatan halal, yang akan diadakan pada 13 Sept," katanya.

MIHAS 2023 yang dianjurkan oleh MATRADE, agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), menampilkan hampir 1,900 gerai pameran dari 44 negara yang mengambil bahagian.

Pameran perdagangan itu, diadakan dari 12-15 Sept di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, dijangka menarik 35,000 pengunjung.

-- BERNAMA