PUTRAJAYA: Median upah bulanan pekerja sektor formal naik 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM2,900 pada Dis 2023, demikian menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Keempat 2023 (ST4 2023) yang diterbitkan hari ini.

Upah meliputi semua ganjaran kepada pekerja dalam bentuk wang termasuk bonus, komisen dan elaun dalam tempoh rujukan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata bilangan pekerja formal warganegara Malaysia adalah sebanyak 6.67 juta orang pada Dis 2023, menokok 1.8 peratus jika dibandingkan dengan bulan yang sama tahun sebelumnya.

"Dari sudut pekerja formal mengikut jantina, pekerja formal lelaki meliputi 55.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal atau bersamaan dengan 3.70 juta orang pada Dis 2023.

"Median upah bulanan pekerja formal lelaki adalah sebanyak RM2,945 manakala pekerja formal perempuan yang merangkumi 44.5 peratus (2.97 juta orang) daripada keseluruhan pekerja formal menerima RM2,845," katanya.

Melihat kepada perincian statistik upah mengikut kumpulan umur, menunjukkan kumpulan umur 45 hingga 49 tahun menerima median upah bulanan tertinggi sebanyak RM3,927.

Beliau berkata kumpulan umur itu juga menerima median upah bulanan tertinggi pada Oktober (RM3,500) dan November (RM3,500).

Sementara itu, median upah bulanan pekerja formal warganegara Malaysia di bawah umur 20 tahun ialah RM1,500 pada Disember, kekal tidak berubah selama 19 bulan berturut-turut.

Mengenai situasi upah mengikut aktiviti ekonomi, beliau berkata pada ST4 2023 semua sektor merekodkan peningkatan tahun ke tahun median upah bulanan dengan sektor perlombongan dan pengkuarian menerima median upah bulanan tertinggi iaitu RM6,844 walaupun hanya mewakili 0.6 peratus daripada keseluruhan pekerja formal.

Mohd Uzir berkata median upah bulanan menunjukkan peningkatan positif tahun ke tahun bagi semua negeri pada tiga bulan terakhir 2023.

"Tiga negeri yang mencatatkan median upah bulanan lebih tinggi berbanding median upah bulanan nasional RM2,900 ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan median upah bulanan tertinggi iaitu RM4,045 diikuti Pulau Pinang (RM3,245) dan Selangor (RM3,164).

"Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah bulanan terendah masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,700 dan RM1,882," jelasnya.

-- BERNAMA