Malaysia berhasrat memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean-India dalam sektor-sektor perkhidmatan dan pelaburan menjelang awal Disember, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Negara-negara yang menyertai sedang berusaha ke arah penyelesaian ini, kata beliau sambil menambah yang terdapatnya komitmen oleh semua pemimpin untuk menyelesaikan perkara ini menjelang akhir tahun.

"Kita mempunyai masalah dengan India terutamanya dengan pergerakan profesional persendirian ke atas sektor perkhidmatan serta pada masa yang sama berhadapan dengan cabaran berhubung pelaburan," kata beliau kepada pemberita di luar acara Persidangan Sektor Perkhidmatan di ibu negara hari ini.

Mustapa berkata demikian ketika ditanya mengenai maklumat terkini mengenai FTA Asean-India dalam sektor-sektor perkhidmatan dan pelaburan yang dilaporkan menemui jalan buntu.

Menteri itu melahirkan harapan agar perundingan itu boleh dimuktamadkan pada awal Disember.

"Kita berharap dapat menjayakan perjanjian itu menjelang akhir tahun iaitu semasa Sidang Kemuncak Komemoratif Asean-India 2012 diadakan di New Delhi," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata Malaysia akan mendapat benefisiari yang lebih baik sebaik sahaja perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dimuktamadkan pada 2015.

Kesemua 16 negara yang terlibat dalam RCEP ialah 10 negara Asean campur China, Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand, di mana RCEP akan menjadi pasaran tunggal dengan lebih tiga bilion penduduk dan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) US$17 trilion.

"Malaysia telahpun ada perjanjian menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas Asean di negara-negara seperti India, China, Australia, New Zealand, Korea dan Jepun, dan dengan RCEP, kita percaya ia melebihi apa yang kita telah persetujui sebelum ini," tambah beliau.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mustapa berkata kerajaan akan meliberalisasikan lebih banyak aktiviti perkhidmatan secara berfasa untuk menarik pelaburan asing langsung (FDI) ke dalam sektor itu.

"Setakat ini, kerajaan telah meliberalisasikan 44 perkhidmatan dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan perniagaan dan profesional kerana kerajaan telah menganggarkan yang FDI dalam sektor ini akan meningkat dengan ketara di masa akan datang," kata beliau.

Beliau menambah yang ini juga adalah seiring dengan sasaran kerajaan untuk mengembangkan sumbangan sektor itu kepada 65 peratus daripada KDNK negara menjelang 2020 daripada 45-55 peratus pada masa ini.