Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara faktor peningkatan KDNK bagi suku kedua adalah peningkatan ketara pelaburan swasta kerana pelabur semakin yakin dengan prospek ekonomi negara.
"Kalau kita tengok, pelaburan swasta meningkat 9.2 peratus pada suku pertama 2024 dan pada suku kedua pula naik 12 peratus, manakala sektor pembuatan pada suku pertama naik 1.9 peratus, dan suku kedua naik 4.7 peratus.
"Alhamdulillah, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 sudah mula menampakkan hasil," katanya menerusi hantaran di platform 'X' malam tadi.
"Suku kedua 2024 mencatatkan pertumbuhan eksport bersih sebanyak 3.4 peratus, World Semiconductor Trade Statistics pula meramalkan peningkatan 16 peratus bagi permintaan semikonduktor tahun ini.
"Insya-Allah, pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional akan memastikan Malaysia terus menjadi antara pemain utama industri semikonduktor di peringkat global," katanya.
Tengku Zafrul berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus berusaha memajukan industri tempatan, meningkatkan perdagangan serta menarik pelaburan berkualiti bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.
- BERNAMA