Malaysia Airlines hari ini memulakan perkhidmatan penerbangan sulung A350-900 dari Kuala Lumpur ke London, dengan majlis pelepasan berlangung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

MH4 berlepas dari KLIA pada 9.15 pagi dan dijadual tiba di London-Heathrow pada 3.25 petang hari ini, kata syarikat penerbangan negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Izham Ismail dan Ketua Pegawai Komersial, Arved von zur Muehlen turut hadir di KLIA untuk mengucapkan selamat jalan kepada 255 penumpang MH4.

Foto Malaysia Airlines

Edisi terbaharu kumpulan pesawat A350 Malaysia Airlines itu mempunyai kapasiti 286 tempat duduk, dengan empat tempat di kelas pertama, 35 di kelas bisnes dan 247 di kelas ekonomi, yang menawarkan pengalaman hiburan dan ketersambungan dalam pesawat. - BERNAMA