Dalam usaha menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebagai hab pilihan ASEAN, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai rakan syarikat penerbangan serta Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Seperti yang digariskan dalam pelan perniagaan lima tahunnya, Runway to Success 2020, MAHB berkata pembabitannya dengan rakan syarikat penerbangan dan pemegang kepentingan adalah untuk menguasai pasaran utama serta meningkatkan perhubungan jarak dekat dan sederhana dalam pasaran pertumbuhan tinggi, untuk manfaat bersama semua pihak.

Pertemuan terbaru dengan All Nippon Airways (ANA), Garuda Indonesia (Garuda) dan IATA, berlangsung di Singapura minggu lepas, kata MAHB dalam satu kenyataan pada Khamis.

ANA merupakan antara syarikat penerbangan Timur Jauh utama Malaysia Airports yang menjalankan perkhidmatan harian ke Kuala Lumpur dari Narita sejak September 2015.

Oktober lepas, syarikat penerbangan itu menambah perkhidmatan harian dari Haneda ke Kuala Lumpur, dan sejak itu kedua-dua laluan mencatat pertumbuhan trafik yang menggalakkan.

Kemajuan pesat syarikat penerbangan itu di KLIA jelas menunjukkan pentingnya pasaran Malaysia dalam rangkaian ANA, kata MAHB.

Dalam pertemuan dengan uun Setiawan, Naib Presiden Wilayah Asia, Garuda, beliau memuji usaha dan inisiatif MAHB dalam mengukuhkan hubungan dengan rakan penerbangan jangka panjangnya.

Garuda menawarkan kekerapan penerbangan yang tinggi antara Kuala Lumpur dan Jakarta, dengan tiga penerbangan harian menggunakan pesawat Boeing 737-800.

MAHB berkata ia yakin syarikat penerbangan itu akan terus dapat meneroka pasaran yang berkembang dan meningkatkan jumlah penumpang ke Malaysia memandangkan bilangan penduduk Indonesia yang besar dan trafik yang tinggi antara kedua-dua negara.

Pada pertemuan dengan IATA, Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali mengambil peluang untuk berkongsi maklumat terkini dengan Naib Presiden Serantau IATA, Asia Pasifik, Conrad Clifford mengenai Runway to Success 2020, prestasi lapangan terbang, pembangunan kapasiti dan beberapa inisiatif utama lain di lapangan terbang itu.

"Mesyuarat itu juga menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar-tukar pendapat mengenai kecekapan perniagaan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat penerbangan dan penumpang.

"Pejabat serantau IATA Asia Pasifik yang berpangkalan di Singapura, berfungsi sebagai pusat hubungan bagi ahli syarikat penerbangan IATA di rantau ini," katanya

Peranan utama pejabat serantau itu adalah untuk mengekalkan hubungan rapat dengan kerajaan, lapangan terbang, pembekal perkhidmatan navigasi udara dan organisasi industri serantau.

MAHB mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

Lapangan terbang di Malaysia terdiri daripada 5 lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 lapangan terbang dengan landasan pendek (STOLports).

IATA mewakili kira-kira 265 syarikat penerbangan yang menguasai 83 peratus daripada trafik udara global.

-- BERNAMA