KUALA LUMPUR:Tindakan kerajaan yang meluluskan sesetengah bidang kerja kepada syarikat konsesi pembinaan di seluruh negara seolah-olah ingin menghapuskan kontraktor kecil Bumiputera.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, tindakan itu hanya menyebabkan projek tertentu dimonopoli syarikat yang dikatakan ada kepakaran bidang itu sahaja.

"Di Johor, dilaporkan konsesi ini hanya mengundang enam syarikat gergasi tetapi membunuh hampir 7,000 kontraktor kelas G1-G2. 

"Peluang mereka adalah terhad kerana syarikat konsesi ini mengamalkan harga kontrak dengan menawarkan harga yang jauh lebih rendah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Azman berkata, peluang pekerjaan bagi kontraktor kelas G1-G4 di seluruh negara amat memberi kesan ketika musim pandemik ini.

"Ini kerana, kesan pelbagai pemain (multiplayer) dalam industi pembinaan amat tinggi berbanding industri lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menambah, PKBM mencadangkan agar beberapa perkara perlu diberi perhatian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam menangani isu penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.

Beliau berkata, antara yang perlu diketengahkan adalah termasuk isu penempatan pekerja di tapak pembinaan yang dikenal pasti punca utama penularan jangkitan tersebut.

Berikut merupakan cadangan PKBM untuk tindakan CIDB:
 
i. Pemantauan yang lebih menyeluruh di tapak-tapak pembinaan.

ii. Membantu mengurangkan harga kos saringan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bagi mengasingkan pekerja-pekerja yang didapati positif COVID-19.

iii. Mendapat bantuan subsidi kewangan daripada CIDB untuk mengurangkan kos ujian saringan.

iv. Mengurangkan bayaran Levi kepada CIDB bagi projek-projek baru sebanyak 50 peratus dari 0.0125.

v. Pusat Penempatan Pekerja wajar disediakan tetapi ianya adalah Pelan Jangka Panjang bagi Industri Pembinaan Negara.