KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar makanan terkemuka, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) menyasarkan jualan kira-kira RM150 juta bagi pembuatan makanan dalam tin dan sos serta produk sardin sempena pembukaan kilang baharunya di Lot 18 dekat Rawang, Selangor.

Adabi dalam satu kenyataan berkata, kilang tersebut adalah misi pihaknya dalam mengembangkan lagi pengeluaran produk di samping menjadi pelaburan baharu.

“Kilang baharu ini merupakan langkah pengembangan pengeluaran makanan dalam tin dan sos sedia ada di Lot 136 berikutan pertumbuhan 2022 Adabi.

“Ini juga merupakan salah satu daripada beberapa pelaburan baharu Adabi untuk memenuhi permintaan produk sedia untuk dimakan (ready-to-eat),” kata kenyataan itu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, tambah kenyataan, kilang yang mula beroperasi secara rasmi pada Jun lalu adalah komitmen memenuhi pasaran produk tin sedia dimakan untuk tempatan dan eksport, selain mewujudkan peluang pekerjaan.

“Pembukaan kilang ini mampu mengembangkan lagi keupayaan pengeluaran makanan serta memenuhi keperluan pasaran produk makanan dalam tin atau sedia dimakan yang semakin meningkat bagi pasaran tempatan dan eksport.

“Selain itu, ini juga mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi penduduk setempat,” katanya.

Katanya, kilang baharu yang berkeluasan 1.6 ekar itu turut mampu menghasilkan 200 peratus lebih keluaran daripada kilang sebelumnya meliputi 17 produk.

“Antara produk makanan dalam tin keluaran kilang baharu termasuk sardin dalam sos tomato; sardin dalam sos tomato dengan cili; kari; kurma; rendang ayam dan daging; kari kambing; sambal ikan bilis/kerang/kupang; sup ayam/daging/tulang/kacang dan kuah kacang.

“Produk dalam tin baharu yang akan datang meliputi pelbagai hidangan berasaskan makanan laut, daging sebagai produk sedia untuk dimakan.

“Manakala, produk sos keluaran kilang baharu termasuk sos tiram; sos cili; sos tomato; sos makanan laut dan sos korea,” ujarnya.

Katanya, kesemua produk keluarannya juga disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selain kilang baharu mendapat pengiktirafan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP).

“HACCP ialah sistem pengurusan keselamatan makanan yang diurus melalui analisis dan kawalan bahaya biologi, kimia dan fizikal daripada pengeluaran bahan mentah, perolehan dan pengendalian serta merupakan piawaian pensijilan yang diperlukan pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

“Kilang baharu ini juga mempunyai sijil perakuan FSSC, iatu skim pensijilan lengkap untuk Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan dan model pensijilan yang digunakan dalam keseluruhan rantaian bekalan makanan untuk memastikan piawaian dan proses keselamatan makanan,” katanya lagi.