KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 melonjak kepada RM27.1 juta daripada RM6.96 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas kebanyakannya didorong oleh peningkatan kemasukan pesakit.

Perolehan juga meningkat kepada RM707.57 juta daripada RM632.83 juta tahun lepas dipacu oleh peningkatan dalam kecekapan, kualiti dan produktiviti hospital serta pelaksanaan pelan transformasi dan strategi pengoptimuman kos, kata KPJ Healthcare dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2022, keuntungan bersih syarikat juga naik kepada RM49.29 juta berbanding RM19.93 juta tahun lepas manakala hasil bertambah kepada RM1.36 bilion daripada RM1.24 bilion sebelumnya.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dalam satu kenyataan berasingan berkata syarikat itu optimis industri penjagaan kesihatan akan terus menjadi menjadi penyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

"Pertumbuhan permintaan yang berterusan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan dijangka susulan daripada peningkatan kesedaran penjagaan kesihatan mental dan fizikal serta peralihan penjagaan kesihatan daripada kemasukan ke hospital kepada penjagaan pencegahan.

"Selain itu, prosedur perubatan elektif yang kukuh dan pemulihan sektor pelancongan kesihatan juga dijangka memberi petunjuk untuk prospek syarikat melangkah ke hadapan," katanya.

Mengenai prospek, KPJ Healthcare berkata ia kekal fokus untuk meningkatkan kecekapan, kualiti dan produktiviti hospital serta pelaburannya melalui pelaksanaan pelan transformasi syarikat dan strategi pengoptimuman kos.

"Seiring dengan slogan 'Care for Life', syarikat itu kekal komited terhadap penjagaan pesakit dengan memanfaatkan teknologi digital untuk penyediaan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik.

"KPJ Healthcare juga sentiasa mencari pelaburan yang berdaya maju untuk mengembangkan keupayaannya dalam penjagaan pencegahan dan kesejahteraan bagi melengkapkan perkhidmatan sedia ada," katanya.

KPJ Healthcare telah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 0.55 sen sesaham, pembayaran dividen tertingginya setakat ini, ia akan dibayar pada 21 Oktober, 2022.

-- BERNAMA