KUALA LUMPUR: Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM32.4 bilion bagi separuh pertama 2024 berakhir 30 Jun.

Dalam tempoh itu, Petronas mencatatkan pendapatan sebanyak RM171.7 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun ini, meningkat dua peratus daripada RM169 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, peningkatan itu sebahagian besarnya disebabkan kesan daripada pertukaran mata wang asing.

Di sebalik hasil lebih tinggi, keuntungan selepas cukai (PAT) menurun 19 peratus kepada RM32.4 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu disebabkan penyahkonsolidasi anak syarikat dan cukai yang lebih tinggi sepanjang tempoh dikaji.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM64.1 bilion, lebih rendah sebanyak RM6.4 bilion atau sembilan peratus selaras dengan keuntungan yang lebih rendah.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) juga menurun sebanyak RM3 bilion atau lima peratus kepada RM54.8 bilion

Perbelanjaan modal (CAPEX) pula merekodkan RM25.7 bilion terutamanya untuk aktiviti pembangunan dan penerokaan dengan CAPEX domestik meningkat satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset syarikat itu meningkat kepada RM798.6 bilion setakat 30 Jun 2024 berbanding RM773.3 bilion pada 31 Disember tahun lalu.

Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM443.9 bilion disokong keuntungan yang dicatatkan semasa tempoh kewangan.

Ia sebahagiannya diimbangi oleh dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham berjumlah RM32 bilion.

Walaupun menghadapi cabaran dalam harga realisasi yang lebih rendah terutama untuk LNG, Petronas berjaya mengekalkan prestasi kukuh melalui pelaburan strategik dalam sektor tenaga mampan.

Dengan peningkatan dalam pendapatan dan pelaburan berterusan, Petronas berada di landasan baik untuk mencapai matlamat jangka panjangnya dalam peralihan tenaga dan pertumbuhan mampan.

Turut hadir ialah Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Mohd Jukris Abdul Wahab, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Liza Mustapha dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Gas dan Perniagaan Maritim Datuk Adif Zulkifli.