KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam temu bual eksklusif bersama Bernama berkongsi tentang perkembangan terkini mengenai Perjanjian Langganan Saham (SSA) dalam Digital Nasional Bhd (DNB) dan rancangan serta strategik seterusnya.

[Bernama] Bolehkah Kementerian Kewangan (MOF) mengulas mengenai dua pengendali rangkaian operasi mudah alih (MNO) yang secara rasmi telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan melanggan saham dalam DNB?

[Tengku Zafrul] Kerajaan mengambil maklum keputusan dua MNO yang tidak akan melanggan saham DNB. Yang penting, empat MNO iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi.com Bhd, YTL Communications Sdn Bhd (YES) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) masih tetap dengan keputusan masing-masing untuk melanggan saham DNB.

Pemilikan bersama ekuiti dalam DNB juga bermakna MNO yang terlibat boleh bersama-sama membangunkan rangkaian 5G melalui Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network) tanpa modal pembangunan yang tinggi, dan pada masa yang sama membolehkan mereka menumpukan usaha kepada penambahbaikan khidmat 4G sedia ada kepada rakyat.

Secara keseluruhan, ini akan memastikan keterangkuman dan penyediaan perkhidmatan 5G yang mampu dinikmati oleh setiap golongan Keluarga Malaysia.


[Bernama] Adakah 70 peratus akan dibahagikan antara MNO yang tinggal?

[Tengku Zafrul] Kerajaan masih berpegang kepada prinsip bahawa rangkaian 5G perlu dibangunkan bersama-sama dengan MNO domestik dan tetap dengan keputusannya untuk tidak menjadi pemegang ekuiti majoriti dalam DNB. Ini selari dengan permintaan MNO domestik untuk memegang kepentingan ekuiti dalam DNB.

Kerajaan mengalu-alukan keputusan empat MNO yang masih komited untuk membangunkan rangkaian 5G bersama DNB. Dari segi 70 peratus kepentingan ekuiti dalam DNB, kita sedang mempertimbangkan sama ada ia akan diagihkan semula kepada empat MNO tersebut, atau bakinya akan dipegang oleh Kerajaan tetapi tidak sampai ke tahap pegangan majoriti dalam DNB.

Opsyen untuk menawarkan pegangan ekuiti kepada MNO asing juga masih ada kerana pelbagai MNO asing telah menzahirkan hasrat untuk menyumbang kepada pembangunan rangkaian 5G tempatan. Dasar Kerajaan adalah untuk mengutamakan MNO domestik, namun dengan adanya baki saham yang masih boleh dilanggan, kerajaan tidak menolak kemungkinan penawaran saham DNB kepada MNO asing.


[Bernama] Apakah kesan daripada hanya empat dan bukannya enam MNO melanggan saham DNB - dari segi kewangan dan dari segi pelaksanaan? Bilakah tarikh akhir baharu untuk Perjanjian Langganan Saham (SSA)?

[Tengku Zafrul] Dari segi proses perbincangan, saya difahamkan bahawa kesemua persoalan dan isu yang dibangkitkan telah diberi pencerahan dan diselesaikan. Penasihat utama (lead arranger) dalam perkara ini telah mengadakan perbincangan dengan setiap MNO secara berasingan, dan juga dengan kesemua MNO secara serentak untuk menyelesaikan apa-apa isu berbangkit. Namun, saya difahamkan, dua MNO telah menarik diri di saat akhir.

Tentu sekali keputusan tersebut ada impaknya dari segi melambatkan garis masa pelaksanaan 5G untuk rakyat dan perniagaan dan kita perlu menerima hakikat bahawa Malaysia sudah tertinggal dari segi pelaksanaan aplikasi 5G berbanding dengan negara-negara jiran serantau.

Terkini, dua daripada empat MNO yang komited untuk melanggan saham DNB terpaksa berbincang semula dengan pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah masing-masing bagi kemungkinan melanggan jumlah pegangan ekuiti yang berbeza. Kita berharap agar keputusan ini dapat dimuktamadkan pada bulan September juga supaya kita boleh menawarkan perkhidmatan 5G secepat mungkin untuk manfaat Keluarga Malaysia. Dari segi kewangan, tiada impak besar kepada Kerajaan kerana kami difahamkan bahawa bank-bank tempatan dan juga bank-bank asing bersedia untuk membiayai pelaksanaan 5G di Malaysia.

Ini juga mencerminkan keyakinan sektor swasta di dalam pelan pembangunan 5G di negara kita.


[Bernama] Apakah rancangan atau strategi seterusnya DNB untuk memastikan pelaksanaan SSA berjalan lancar?

[Tengku Zafrul] Yang paling penting adalah pelaksanaan 5G buat manfaat rakyat dan perniagaan. Dalam tempoh rundingan untuk memuktamadkan SSA, saya difahamkan DNB juga telah menjalankan rundingan mengenai Perjanjian Akses 5G (5G Access Agreement). Bagi MNO yang tidak melanggani saham DNB, mereka masih boleh menawarkan akses 5G melalui Perjanjian Akses 5G.

Pembangunan infrastruktur 5G Malaysia amat penting untuk Malaysia membina ekonomi berasaskan digital, yang berpotensi meraih pelbagai kesan pengganda, seperti peningkatan kumulatif keluaran dalam negara kasar (KDNK) sehingga RM650 bilion bagi tempoh 2022-2030, serta penjanaan 750,000 pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Ia juga bakal memanfaatkan sembilan (9) industri dan sektor, dan bakal mendorong pembangunan 15 bandar raya pintar.

Kementerian Kewangan, melalui pegangan ekuiti di dalam DNB akan memastikan agar rangkaian dan infrastruktur 5G dibangunkan dengan secepat mungkin dan DNB kekal di landasannya bagi mencapai 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang 2024.

-- BERNAMA