Kerajaan dijangka laksana cukai minimum global pada 2025
Kerajaan dijangka melaksanakan cukai minimum global pada 2025 setelah mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa.
Bernama
Fri Oct 13 2023
Anwar berkata cukai tersebut juga hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro. - Gambar screengrab Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka melaksanakan cukai minimum global pada 2025 setelah mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata cukai tersebut juga hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro.
"Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah.
"Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan cukai minimun global di peringkat antarabangsa," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.