KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkasakan Ekonomi MADANI dengan mengambil kira pelbagai pandangan dan cadangan daripada semua pihak terutamanya dalam menaikkan siling untuk menjadikan negara sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia.

Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu termasuk menaikkan lantai yang bertujuan meningkatkan darjat kesejahteraan hidup rakyat.

Justeru, katanya input daripada penjawat awam penting berikutan mereka akan membantu dalam memudahkan proses kemasukan pelabur asing ke negara ini.

"Kita mahu menaikkan siling, tarik pelabur masuk (dan) ada banyak jangkaan dari segi tatakelola kerajaan. Penjawat awam adalah teras kepada pelaksanaan peraturan dan dasar kerajaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Sesi Dialog Prabelanjawan 2025 Bersama Penjawat Awam anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini.

Terdahulu, pada sesi tersebut, beliau berkata kerajaan mahu memperbaiki cara yang boleh dilaksanakan untuk menambah baik proses bagi memudahkan pelaburan.

Sehubungan itu, katanya peranan penjawat awam penting untuk melihat aspek yang terdapat dalam sistem yang boleh diperbaiki.

"Sebagai contoh, adakah terdapat langkah yang boleh kita buat untuk menambah baik atau memudahkan proses dengan mengurangkan aliran proses? Kalau sebelum ini, ambil masa sebulan, boleh tak dibuat dalam masa beberapa hari?," katanya.

Amir Hamzah berkata meskipun kerajaan berdepan dengan cabaran kekangan kewangan, langkah akan diambil untuk membantu kumpulan pendapatan pertengahan (M40) dan berpendapatan rendah (B40) untuk mengimbangi perbelanjaan dalam Belanjawan 2025.

Di samping itu, beliau turut menekankan mengenai kepentingan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan mengelak ketirisan dan urus tadbir yang tidak cekap untuk menjimatkan perbelanjaan dan mengurangkan pembaziran.

Katanya ketelusan dalam setiap proses pelaksanaan juga perlu untuk memerangi rasuah dan jika ia memerlukan penyusunan semula dalam sesuatu proses, justeru, ia wajar dilaksanakan.

"Langkah itu untuk memberikan hasil yang berkualiti dan bermakna dalam usaha kerajaan merancakkan Ekonomi MADANI," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa penjawat awam supaya mengguna pakai teknologi yang terkini untuk meningkatkan keupayaan diri dan menjadi lebih cekap dalam organisasi masing-masing.

-- BERNAMA