KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd muncul bank pelaburan Malaysia yang pertama menyertai United Nations Global Compact (UN Global Compact), inisiatif kemampanan korporat terbesar di dunia.

Ini menunjukkan komitmennya terhadap 10 Prinsip Padat Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang Hak Asasi Manusia, Buruh, Alam Sekitar dan Anti-Rasuah.

Kenanga menyertai rangkaian syarikat sukarela global yang komited untuk melaksanakan tindakan perniagaan bertanggungjawab bagi mencipta masa depan yang lebih baik.

Dilancarkan pada 2000, UN Global Compact mengandungi lebih 12,000 syarikat dan 3,000 penandatangan bukan perniagaan yang berpangkalan di lebih 160 negara di seluruh dunia, dan lebih 70 rangkaian tempatan.

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, melaksanakan perubahan yang signifikan terhadap kemampanan merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan usaha bersepadu para peserta dalam setiap sektor.

Katanya, sebagai peserta bank pelaburan Malaysia pertama, mereka berharap untuk memberi sumbangan dan juga menimba ilmu pengetahuan, selain menetapkan sasaran untuk mencipta kejayaan dalam menjana impak yang penting.

“Di samping impak iklim, agenda kemampanan kami juga memberikan tumpuan pada kepelbagaian, rangkuman dan kesejahteraan tenaga kerja kami, pelaburan komuniti, pelaburan bertanggungjawab, pendigitalan dan amalan perniagaan baik.

"Kami teruja terhadap pembinaan keupayaan dan peluang memperkukuh rangkaian menerusi kerjasama dengan UN Global Compact, yang akan berfungsi sebagai pendorong untuk mempertingkatkan sumbangan kami kepada Matlamat Pembangunan Mampan PBB,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Sebuah jenama tempatan dengan pengalaman selama hampir lima dekad, Kenanga giat memacu penerapan aspek ESG dalam operasinya.

Sebagai sebahagian daripada landasan tindakan iklimnya, kumpulan menetapkan sasaran untuk beroperasi menerusi tenaga hijau 100% pada 2025, sejajar dengan komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.


*Berita asal di DagangNews.com