KUALA LUMPUR:Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menguncup sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2020 berikutan sekatan pergerakan yang ketat telah melembapkan penggunaan domestik dan pelaburan tetap.

Menurut Moody's Analytics dalam Asia Pacific Economic Preview, KDNK Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua 2020 dan kedudukan ekonomi dan luaran Malaysia turut terjejas akibat penutupan berskala besar melibatkan seluruh ekonomi utama.

Bagaimanapun, ahli ekonominya Shahana Mukherjee berkata selepas itu, permintaan di peringkat antarabangsa telah meningkat sejajar dengan perbelanjaan domestik ketika pandemik setempat adalah terkawal.

"Faktor-faktor ini dijangka meningkatkan pendapatan domestik pada suku September," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Moody's Analytics berkata, di peringkat serantau pula, KDNK suku ketiga bagi Indonesia menyusut 3.5 peratus berbanding penurunan 5.3 peratus pada suku sebelumnya, justeru, negara itu telah mengalami kemelesetan buat pertama kalinya sejak krisis kewangan Asia pada 1998.

KDNK Filipina juga dijangka menguncup sebanyak enam peratus pada suku ketiga berikutan penurunan 16.5 peratus pada suku sebelumnya memandangkan sekatan pergerakan keluar masuk yang ketat telah banyak mempengaruhi pelaburan dan penggunaan domestik di negara itu, manakala eksportnya merosot sebanyak 40 peratus.

-- BERNAMA