KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan dagangan yang tinggi ketika mengakhiri urus niaga sesi awal hari ini, dirangsang oleh kaunter perladangan dan perbankan.

Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 20.80 mata kepada 1,543.23 berbanding 1,522.43 pada penutupan urus niaga Isnin.

Indeks utama dibuka 1.78 mata lebih tinggi pada 1,524.21 dan bergerak antara 1,522.81 dan 1,546.03 di sepanjang sesi pagi hingga tengah hari.

Pergerakan harga di pasaran kekal positif, menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 647 berbalas 297 sementara 399 kaunter tidak berubah, 876 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 2.59 bilion saham bernilai RM1.44 bilion.

Seorang penganalisis menyatakan keuntungan dilihat merentasi seluruh sektor di tengah-tengah minat pasaran yang kukuh.

"Harga minyak mentah dan minyak sawit mentah yang amat menggalakkan selain langkah kawalan pergerakan domestik yang lebih longgar adalah penyumbang kepada peningkatan di pasaran domestik," katanya kepada Bernama.

Pada ketika ini, minyak penanda aras Brent kekal melepasi paras AS$68 setong.

Sementara itu, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata penurunan kes COVID-19 ke bawah paras 18,000 semalam mungkin boleh mencetuskan keyakinan terhadap sentimen yang pada masa ini agak rapuh dan ini dapat dilihat kepada jumlah dagangan pasaran yang semakin baik.

Bagaimanapun, kebimbangan masih ada menjelang simposium Jackson Hole Amerika Syarikat pada Khamis yang dijangka memberikan petunjuk mengenai tinjauan dasar Rizab Persekutuan AS selain daripada para pelabur turut menantikan data kadar inflasi bulan Julai Malaysia yang akan diumumkan esok.

Sementara itu, saham berwajaran tinggi Public Bank naik 10 sen kepada RM4.04, Maybank 13 sen lebih tinggi pada RM8.30, CIMB meningkat 11 sen kepada RM4.79, dan Hong Leong Bank menokok 30 sen kepada RM18.70.

Sime Darby Plantation pula melonjak 23 sen kepada RM4.14 dan IOI mengembang 11 sen kepada RM3.86.

Bagi saham aktif, VSolar tidak berubah pada 1.5 sen, D'nonce Technology turun 1.5 sen kepada 59 sen, MMAG susut satu sen kepada 11.5 sen, dan Avillion lebih rendah setengah sen kepada 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 135.97 mata kepada 11,292.59, Indeks FBMT 100 naik 135.38 mata kepada 11,000.51, Indeks FBM Emas Syariah melambung 108.51 mata kepada 12,352.88, FBM 70 pula 132.50 mata lebih tinggi pada 14,842.44 dan FBM ACE naik 94.88 mata kepada 7,274.00.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 166.49 mata kepada 6,576.87, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 269.92 mata kepada 15,187.77 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengembang 1.05 mata kepada 190.42.

-- BERNAMA