KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd mencatatkan pertumbuhan 17.1 peratus pada April 2024 dengan 11,025 unit dijual dalam pasaran domestik dan eksport berbanding 9,415 unit pada April 2023.

Pengeluar kereta nasional itu berkata jualan bagi empat bulan pertama tahun ini turut meningkat kukuh kepada 50,175 unit berbanding 49,702 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah volum industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia dianggarkan meningkat kepada 59,100 unit dengan jumlah kumulatif 261,345 unit bagi tahun ini, kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Roslan Abdullah berkata: "Jualan automotif pada April 2024 merosot, dengan TIV menyusut sebanyak 16.8 peratus berbanding Mac 2024, dan boleh dikaitkan dengan tempoh cuti yang panjang kerana pengeluar peralatan tulen, pengedar dan pengusaha dalam ekosistem automotif tempatan mengambil cuti untuk menyambut Hari Raya.

"Bagaimanapun, permintaan yang berterusan untuk model Proton didorong lagi oleh usaha berterusan dalam penambahbaikan kualiti dengan skor Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang lebih baik sejak 2019, menanam keyakinan yang lebih tinggi dalam kalangan pemandu," katanya.

Syarikat automotif itu berkata jumlah jualan eksport Proton melonjak 38.5 peratus kepada 835 unit berbanding 603 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, dengan model Proton Saga mendahului apabila sebanyak 427 unit dijual sejak awal tahun.

Model Proton X50 menduduki tempat kedua dengan 176 unit terjual, manakala model Proton S70 merekodkan 89 unit dalam pasaran eksport tunggalnya di Brunei untuk empat bulan pertama 2024.

Roslan berkata jualan eksport kekal sebagai tonggak penting kepada matlamat jangka panjang Proton dan dengan model Proton S70 meningkatkan jualannya dalam pasaran domestik dan eksport, syarikat yakin dapat mencapai pertumbuhan eksport yang mampan tahun ini dan meningkatkan sumbangan jualan eksport kepada jumlah jualan tahunannya.

"Tahun ini, kami telah menambah Trinidad dan Tobago ke dalam portfolio eksport kami dan mengukuhkan semula kedudukan kami di Bangladesh.

"Proton yakin pasaran meningkat semula kerana masih terdapat banyak permintaan daripada pembeli kereta," katanya.

Kenyataan itu berkata model Proton X50 mendahului semula jualan bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B dengan 1,642 unit terjual pada April, manakala Proton S70 mendahului sedan segmen C sejak awal tahun apabila 1,635 unit terjual pada April dengan jualan kumulatif sebanyak 7,463 unit.

Model Proton Saga katanya mencatatkan jualan sebanyak 5,031 unit pada April dengan jualan awal tahun sehingga kini meningkat 8.8 peratus kepada 23,278 unit.

Jualan untuk Proton X70 ialah pada 552 unit manakala Proton Persona dan Proton X90 masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 1,429 unit dan 312 unit.

Hatchback segmen B Proton, iaitu Proton Iriz, meningkat kepada 424 unit bagi jumlah jualan pada April, menjadikan jumlah jualan setakat ini kepada 1,958 unit.

-- BERNAMA