Pelancaran acara jualan atas talian #MYCyberSALE yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Datuk Jailani Johari pada 8 September di Publika Shopping Gallery.

Ini merupakan tahun kedua MDeC melancarkan acara tersebut berikutan sambutan hebat pengguna pada tahun 2014.

Jualan yang meliputi pelbagai barangan serta perkhidmatan ini akan menawarkan tawaran diskaun sehingga 97 peratus.

Pembeli atas talian akan berpeluang untuk memilih tawaran promosi melibatkan pedagang tempatan serta pedagang elektronik global dari 28 September hingga 2 Oktober depan.

Malah, acara jualan atas talian terbesar di negara ini akan melibatkan peruncit elektronik sebanyak 400 industri yang meliputi industri fesyen, teknologi serta kecantikan.

Antara peruncit yang mengambil bahagian ialah Zalora, Agro Bazaar Malaysia, Lazada, Dell, Huawei dan Malaysia Airlines.

Menurut Datuk Jailani Johari, #MYCyberSALE merupakan satu platform bagi semua pedagang atas talian untuk berhimpun serta menawarkan tawaran promosi produk dan perkhidmatan yang menarik kepada pengguna.

“Jualan atas talian ini berfungsi sebagai pemangkin untuk membangunkan industri perdagangan elektronik (e-dagang) yang sejajar dengan transformasi digital kerajaan untuk perniagaan, kerajaan serta rakyat Malaysia,” kata Datuk Jailani pada sidang media sebentar tadi.

Difahamkan, seramai 4.7 juta rakyat Malaysia melayari #MYCyberSALE dan seramai 227 juta orang membuat pembelian atas talian tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood pula berkata #MYCyberSALE berperanan sebagai pemangkin membangunkan industri perdagangan elektonik, serta merangsang peranan perniagaan kepada pengguna di Malaysia.

Menurut beliau, jualan atas talian tahun ini akan melihat kemunculan semula syarikat besar seperti Lazada dan Zalora yang juga terlibat dalam jualan #MYCyberSALE tahun lepas .

Malah, penglibatan peniaga industri kecil dan sederhana (SME) juga dilapor agak mengalakkan tahun ini.

“Sebagai agensi kerajaan yang menerajui ekonomi digital di bawah naungan Digital Malaysia, harapan saya ialah agar ekonomi digital ini dapat membuat impak kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja kepada pelabur-pelabur yang besar tetapi yang mustahak ialah supaya digital ekonomi akan menjadi lebih inklusif agar ia akan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” jawab Datuk Yasmin apabila ditanya mengenai harapan beliau dalam bajet2016.