KUALA LUMPUR: Kadar inflasi negara yang lebih rendah daripada jangkaan pada Jun 2024 membayang impak daripada rasionalisasi subsidi diesel kelihatan minimum, kata seorang pakar ekonomi.


Ringkasan AI
  • Kadar inflasi negara yang lebih rendah pada Jun 2024 menunjukkan impak rasionalisasi subsidi diesel adalah minimum, hanya menyumbang 0.2% daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP). Walau bagaimanapun, risiko inflasi masa depan bergantung pada penetapan harga perniagaan.
  • Rasionalisasi subsidi menyebabkan harga diesel meningkat kepada RM3.35 seliter daripada RM2.15 seliter sebelumnya. Kadar faedah sebenar kekal positif pada 1%, menunjukkan dasar monetari yang ketat, yang sepatutnya menyokong nilai ringgit.
  • Inflasi dalam sektor makanan di rumah meningkat dari 0.5% pada Mac 2024 kepada 0.9% pada Jun 2024, terutamanya disebabkan oleh inflasi sayur-sayuran yang naik dari 4.8% kepada 6.2%. Program subsidi diesel Budi Madani membantu petani kecil, tetapi syarat kelayakannya mungkin perlu disemak semula untuk melibatkan lebih ramai petani.


Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada 10 Jun menyumbang hanya 0.2 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP).

"Bagaimanapun, risiko inflasi lebih tinggi pada masa hadapan akan bergantung kepada trend penetapan harga perniagaan, kerana syarikat mungkin menaikkan harga untuk mengekalkan margin keuntungan," katanya kepada Bernama.

Pelarasan subsidi baru-baru ini menyaksikan harga diesel meningkat kepada RM3.35 seliter daripada RM2.15 seliter sebelumnya.

Mohd Afzanizam berkata kadar faedah sebenar pada satu peratus kekal positif, menunjukkan dasar monetari semasa agak ketat.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia yang dijangka tidak akan melonggarkan dasar monetarinya, tidak seperti bank pusat di negara maju dan China, sepatutnya dapat menyokong ringgit.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, IHP berada pada 133.0 mata, didorong oleh peningkatan dalam sektor perkhidmatan restoran dan penginapan (3.3 peratus), serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus).

Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata meskipun inflasi utama kekal stabil, kos makanan di rumah meningkat daripada 0.5 peratus pada Mac 2024 kepada 0.9 peratus pada Jun 2024.

Beliau berkata peningkatan ini berpunca terutamanya daripada kategori sayur-sayuran yang menyaksikan inflasi meningkat daripada 4.8 peratus kepada 6.2 peratus.

"Kenaikan inflasi sayur-sayuran boleh dikaitkan dengan kos logistik dan pengangkutan yang lebih tinggi, yang seterusnya meningkatkan perbelanjaan petani," katanya.

Mohd Sedek berkata program subsidi diesel Budi Madani memberi subsidi kepada petani atau pekebun kecil yang syarikatnya berdaftar dengan agensi berkaitan.

"Bagaimanapun, untuk layak mendapatkannya, mereka mestilah pekebun kecil komoditi yang aktif dengan perolehan tahunan antara RM50,000 dan RM300,000 daripada hasil pertanian dan komoditi.

"Pada pandangan kami, kerajaan harus menyemak semula syarat-syarat ini, kerana tidak ramai petani yang termasuk dalam kategori ini," katanya.

-- BERNAMA