Penurunan IHP keseluruhan dipengaruhi oleh penurunan indeks Pengangkutan (-11.1 peratus), Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (-3.3 peratus), Pakaian & Kasut (-0.5 peratus) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.
Walau bagaimanapun, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 1.4 peratus kepada 135.1 berbanding 133.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
"Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.
"Selain itu, Pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.3 peratus dan diikuti Kesihatan (1.0 peratus), Pendidikan (0.6 peratus), Minuman Alkohol & Tembakau (0.5 peratus) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.1 peratus)," kata Mohd Uzir dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.
![Indeks Harga Pengguna menurun 1.7 peratus kepada 120.0 pada November 2020](https://img.astroawani.com/2020-12/81608707558_freesize.jpg)
Mengulas lanjut, beliau berkata IHP bagi tempoh Januari hingga November 2020 menurun 1.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, penurunan tersebut dipengaruhi oleh Pengangkutan (-10.1 peratus), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-1.7 peratus) dan Pakaian & Kasut (-1.0 peratus).
"Bagi perbandingan bulanan, IHP menurun 0.2 peratus berbanding Oktober 2020.
"Penurunan ini telah disumbangkan oleh Pengangkutan (-1.0 peratus), Makanan & Minuman Bukan Alkohol (-0.1 peratus), Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (-0.1 peratus), Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1 peratus) dan Pendidikan (-0.1 peratus).
"Indeks Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 1.4 peratus pada November 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
"Antara subkumpulan yang menunjukkan kenaikan adalah Sayur-sayuran (3.0 peratus), Keluaran makanan yang tidak dikelaskan di mana-mana (2.3 peratus), Buah-buahan (1.7 peratus), Minyak & lemak (1.7 peratus), Ikan & makanan laut (1.6 peratus), Daging (1.1 peratus) dan Beras, roti & bijiran lain (0.7 peratus)," ujarnya.
IHP Mengikut Negeri
Sementara itu, Mohd Uzir berkata indeks bagi semua negeri turut menunjukkan penurunan antara -1.2 peratus hingga -2.6 peratus bagi November 2020 berbanding November 2019.
Penurunan tertinggi masing-masing dicatatkan Melaka, Kedah dan Perlis iaitu -2.6 peratus.
"Ini diikuti oleh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.5 peratus), Sarawak (-2.4 peratus) dan Negeri Sembilan (-2.4 peratus).
"Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol.
"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 2.0 peratus. Ini diikuti oleh Terengganu (1.8 peratus), Johor (1.7 peratus) dan Kelantan (1.5 peratus)," katanya.