Malah, setiap kutipan cukai terbabit akan diproses dan dikembalikan semula kepada rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, menerusi pelaksanaan cukai berprinsipkan progresif, maka mereka yang berpendapatan tinggi akan dikenakan cukai lebih berbanding mereka yang berpendapatan biasa.
Katanya, pelaksanaan itu dilakukan dalam usaha membuat pengecualian terhadap barang keperluan asas dengan kadar sifar peratus.
“Mereka yang berpendapatan lebih akan dikenakan cukai yang lebih tinggi. Mereka yang berpendapatan rendah akan dikenakan cukai GST yang rendah.
“Ini adalah kerana GST Malaysia ini berfalsafahkan progresif dimana kami ingin membuat pengecualian atau sifar peratus, atau ‘zero rated GST’.
“Dengan adanya ‘zero rated GST’ ini, kadar sifar, GST bertukar kepada progresif. Kalau GST itu tiada, ‘zero rated’, ia regresif.
“Maksudnya rakyat biasa dikecualikan daripada banyak barang yang dikenakan GST iaitu barang makanan, barang minuman, segala jenis daging, makanan laut, sayur buah buahan, ulam ulaman, beras, gula, tepung dan makanan asas,” Ahmad Maslan berkata pada sidang media selepas Program Penerangan GST, bajet dan isu-isu semasa bersama kepimpinan Polis Johor di Johor Bahru, Johor.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan turut menjangkakan peningkatan cukai kepenggunaan sebanyak RM1 billion berikutan pelaksanaan GST akan datang.
Katanya, menerusi angka yang dikeluarkan World Bank, pelaksanaan GST tersebut mampu mengurangkan jumlah peratusan ekonomi terselindung sebanyak hampir 20 peratus.