AirAsia telah bekerjasama dengan Google Cloud bagi menyatukan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin ke dalam setiap aspek perniagaan dan budaya kerjanya untuk menjadi sebuah syarikat teknologi perjalanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) AirAsia, Tony Fernandes berkata sejak dimulakan pada 2001, syarikat penerbangan itu sentiasa menjadi peneraju dalam penggunaan teknologi digital.

"Kami sekarang berada dalam fasa pembangunan seterusnya, di mana kumpulan akan berkembang melangkaui pengangkutan udara dan mendigitalkan operasi dan pemprosesan kami untuk menjadi lebih cekap.

"Google Cloud akan membolehkan kami untuk menggunakan sepenuhnya, data yang kita miliki bagi membuka peluang dan membolehkan kami untuk membangunkan perniagaan baharu," katanya pada persidangan selama dua hari, Google Next 18 yang bermula di sini hari ini.

Dua platform besar akan dibangunkan, yang pertama airasia.com, ia bakal menjadi platform perjalanan digital sehenti di mana pelanggan boleh menempah keperluan perjalanan seperti penerbangan, penginapan, lawatan, pengangkutan darat dan hiburan.

Platform kedua adalah tapak "Big Life lifestyle"" yang akan berubah seperti menggabungkan Kayak, Tripadvisor, Groupon dan eBay menjadi satu platform tunggal.

"BigLife akan merangkumi semua pelaburan digital di bawah bahagian digital kami iaitu RedBeat Ventures, merangkumi aplikasi kewangan BigPay, platform ketersambungan dalam penerbangan ROKKI, pasaran dalam talian Ourshop termasuk perkhidmatan logistik kami seperti RedBox dan RedCargo.

"AirAsia akan menarik lebih banyak peluang perniagaan melalui kedua-dua platform ini dengan bantuan data," kata Fernandes.

CEO Google Cloud, Diane Greene berkata AirAsia telah mula menggunakan program G Suite dan produk-produk Google Cloud untuk mengubah corak syarikat penerbangan itu berfungsi.

"Sekarang ini, dengan platform analisis dan perkhidmatan enjin pembelajaran termaju kami, AirAsia akan dapat mendigitalkan keseluruhan aspek perniagaannya bagi keperluan pelanggan-pelanggan mereka," katanya.

Menurut AirAsia dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu akan bekerja dengan Google Cloud bagi menyelesaikan cabaran perniagaan yang berimpak tinggi termasuk mendapatkan unjuran permintaan yang lebih baik, sasaran pemasaran yang lebih tepat, meningkatkan pengalaman pelanggan dan kesetiaan melalui layanan yang lebih bersifat khusus kepada para pelanggannya.

"Ini juga akan memaksimumkan kecekapan operasi dan mengurangkan risiko melalui jangkaan penyelenggaraan, ramalan cuaca masa nyata dan pengoptimuman anak kapal," katanya.

Syarikat penerbangan itu memberitahu pasukan teknikalnya akan bekerja dengan jurutera Google Cloud bagi menyelesaikan senario perniagaan tertentu dan pada masa yang sama, memperolehi peningkatan dalam asas AI melalui TensorFlow dan pembelajaran mesin Cloud Machine tercanggih yang dibangunkan oleh Google Cloud.

"Kami akan memasukkan pasukan teknikal kami ke dalam program yang digunakan oleh Google Cloud bagi melatih jurutera mereka, ini akan membolehkan kami untuk membina kepakaran dalam teknologi pembelajaran mesin.

"Kumpulan juga akan bekerja sama dengan Google Cloud untuk mendigitalkan serta mengubah jalan kerja dan budaya kami melalui G Suite dan Chrome Enterprise bagi mencipta pengalaman digital yang akan menyediakan akses kepada data dan analisis pada bila-bila masa dan di mana sahaja apabila diperlukan bagi memudahkan proses membuat keputusan yang lebih pantas dan bermaklumat," katanya.

-- BERNAMA