Tahukah anda apa itu silika?

Dari sudut kimia silika adalah sekumpulan mineral yang yang terdiri daripada unsur-unsur silikon dan oksigen (dengan nama kimia SiO2), kedua-duanya antara unsur yang paling kerap ditemui di bahagian kerak bumi. Selain daripada mudah untuk ditemui, ia juga tidak bertindak balas secara kimia dan mempunyai kestabilan yang tinggi, walaupun pada suhu-suhu ekstrem.

Silika juga antara bahan yang paling banyak digunakan sebagai ‘filler’ selain ‘carbon black’ – iaitu bahan sampingan yang terhasil daripada pembakaran minyak. Tanpa ‘carbon’ black’, tayar mungkin tidak akan mempunyai warna benar-benar hitam yang konsisten, dan mempunyai bahagian corak bunga terlalu lembut yang tidak tahan lama.

Silika pula agak bertentangan dengan sifat-sifat ‘carbon black’ – ia mempunyai ketahanan yang kurang daripada menggunakan ‘carbon black’, tetapi ia memberi manfaat dengan mengurangkan rintangan tayar pada permukaan jalan.

Walaupun silika mudah untuk dijumpai, tetapi masih ada syarikat-syarikat yang mencari sumber baru untuk bahan ini. Conton terbaik adalah Goodyear, yang baharu sahaja mengumumkan bahawa mereka akan mula menggunakan debu yang terhasil daripada sekam padi.

Goodyear sudah menguji kualiti silika yang terdapat daripada sekam padi yang dibakar untuk menghasilkan elektrik (tiada butiran bagaimana ini terjadi, kami andaikan adalah untuk mendapatkan stim yang memutarkan turbin) sejak dua tahun lalu di Pusat Innovasi mereka di Amerika Syarikat dan mendapati kesannya pada prestasi tayar adalah sama dengan sumber-sumber terdahulu.

Manfaat langkah Goodyear ini dari segi kualiti produk tayar tidak berubah, tetapi ia memberi impak yang besar ke atas alam sekitar. Selama ini, sekam yang telah dibakar dibuang ke tempat pelupusan sampah dan mengambil ruang yang sebaiknya diisi oleh sisa pepejal lain.

Mengikut perkiraan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebanyak 700 juta tan padi dituai setiap tahun di seluruh dunia. Dan isu untuk membuang sekamnya sudah menjadi satu cabaran kepada penjagaan alam sekitar.

Mungkinkah ini boleh menjadi satu sumber kewangan tambahan kepada penanam-penanam padi di Malaysia suatu hari nanti? Itulah yang kita harapkan.