Setelah hampir sedekad, Rizab Persekutuan (The Fed) akhirnya menaikan kadar faedah Amerika Syarikat kepada antara 0.25 ke 0.50 peratus.

Kenaikan itu menjadi isyarat penting pemulihan ekonomi Amerika sejak krisis kewangan 2009.

Namun bagi pengguna dan perniagaan, kenaikan kadar faedah berkenaan bermaksud bayaran hutang mereka akan menjadi lebih mahal.

Pengerusi The Fed, Janet Yellen berkata ekonomi Amerika dijangka meneruskan kekukuhan bergerak ke tahun hadapan.

"Dengan ekonomi yang kukuh dan jangkaan bahawa ia akan berterusan, jawatankuasa mengambil keputusan untuk menaikkan kadar faedah pada pada kadar sederhana supaya polisi monetori kekal akomodatif" kata Janet.

Kenaikan sederhana itu dilihat langkah kompromi The Fed dalam berdepan dua pendapat berbeza sama ada ia masa sesuai menaikan kadar faedah.

Antara data yang diambil kira dalam membuat keputusan tersebut termasuk data pekerjaan yang jatuh ke paras 5 peratus, unjuran kadar inflasi pada 2 peratus.

The Fed pada pengumuman berkata peningkatan itu adalah permulaan untuk peningkatan seterusnya yang akan ditentukan oleh data inflasi bergerak kehadapan

"Perkembangan ekonomi akan bergerak pada paras yang membenarkan peningkatan faedah secara berperingkat.

"Kadar faedah semasa dijangka akan kekal di bawah paras jangkaan pada tempoh jangka masa panjang" tambah Janet.

Janet berkata polisi monetori itu adalah akomodatif dalam menyokong aktiviti ekonomi.

Pada masa sama The Fed mejangkakan kadar pengangguran akan terus berada di bawah 4.7 peratus tahun depan dengan pertumbuhan ekonomi sekitar 2.4 peratus.

Sasaran penggubal polisi The Fed untuk 2016 adalah peningkatan kepada 1.375 peratus.

Sementara itu, menurut Ketua Ekonomi Kumpulan IQI, Shan Saeed, pengukuhan dolar Amerika susulan peningkatan kadar faedah oleh The Fed dijangka mampu menjejaskan ekonomi Amerika.

Beliau berkata dolar yang kukuh akan memberi kesan negatif kepada eksport produk Amerika.

Felo Utama Sekolah Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr John Antony Xavier pula berkata Bank Negara Malaysia harus meningkatkan kadar faedahnya untuk mengurangkan aliran keluar matawang tempatan.