Program Transformasi Ekonomi (ETP) dijangka dapat mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utamanya (PPU) bagi tahun ini apabila sehingga Isnin lepas ia meraih keseluruhan 66 peratus bagi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan 51 peratus bagi Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mengumumkan 33 projek baharu ETP dengan pelaburan berjumlah RM7.04 bilion bagi separuh pertama tahun ini.

Beliau berkata projek-projek itu mempunyai pendapatan negara kasar (PNK) RM6.76 bilion dan akan mewujudkan 25,825 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Pada 2011, 84 peratus daripada projek-projek itu dengan pelaburan komited berjumlah RM16.64 bilion berjaya dilaksanakan, manakala bagi tahun lepas, 88 peratus daripada projek dilaksanakan daripada jumlah pelaburan RM12.99 bilion," katanya semasa taklimat pertengahan tahun ETP, di sini, Khamis.

Sejak pelancaran ETP pada 2010, 182 projek telah diumumkan dengan pelaburan berjumlah RM218.34 bilion, PNK RM142.86 bilion dan 434,268 peluang pekerjaan menjelang 2020, kata Idris, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Pemandu, unit di bawah Jabatan Perdana Menteri memantau pelaksanaan inisiatif PPU.

Idris memberi amaran bahawa Malaysia bakal berdepan prospek ekonomi sukar tahun ini berikutan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Beliau, bagaimanapun berkata ETP akan terus menerajui pertumbuhan ekonomi menerusi tumpuannya kepada 12 NKEA dan enam SRI.

Menurutnya, ETP akan terus memudahkan peranan sektor swasta dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Ini terbukti apabila pertumbuhan pelaburan swasta bagi asas kadar pertumbuhan tahunan digabung (CAGR) bagi tempoh 2010 hingga 2012 berada pada 16 peratus daripada pertumbuhan CAGR tujuh peratus pada 2006 hingga 2008 dan lima peratus pada 2008 hingga 2010.

"Pada 2011 dan 2012, pelaburan swasta mengatasi sasaran masing-masing sebanyak 9.3 peratus dan 9.6 peratus. Pada 2011, jumlah pelaburan swasta sebanyak RM94 bilion dan tahun lepas sebanyak RM140.18 bilion," katanya.

Bagi tahun ini, Malaysia menyasar pelaburan swasta tinggi sebanyak RM148.8 bilion, katanya.

"Bagi separuh pertama tahun ini, 57.7 peratus atau RM85.7 bilion telah dilaksanakan," katanya.

Pelaburan swasta mengatasi pelaburan awam pada 57 peratus dan 58 peratus masing-masing bagi jumlah pelaburan pada 2011 dan 2012, berbanding 43 peratus pada 2011 dan 42 peratus pada 2012.

"Separuh pertama 2013 terus menyaksikan peningkatan nisbah pelaburan swasta pada 65.7 peratus berbanding 34.3 peratus pelaburan awam," katanya.

Projek ETP terbesar yang diumumkan Pemandu tahun ini ialah pelaburan oleh Sime Darby Brunsfield Group yang akan melaksanakan pembangunan kompleks runcit mega pelbagai tema di Ara Damansara, dengan pelaburan RM1.517 bilion sehingga 2020.