GEORGE TOWN:Pasaran eksport barang kemas Malaysia merosot kepada RM1.69 bilion bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini berbanding RM4.28 bilion bagi tempoh sama 2019.

Pengarah Kanan Bahagian Promosi Eksport dan Akses Pasaran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Koyakutty berkata ini berikutan penularan pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan rangkaian rantaian bekalan industri itu termasuk barang kemas.

"Pandemik itu yang berlanjutan telah banyak menjejaskan rantaian tersebut dan prestasi eksport barang kemas Malaysia juga tidak terkecuali daripada impak tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian acara Penang Signature Gold and Jewelery Fair (PSG) 2020 anjuran Elite Expo Sdn Bhd di sini, pada Jumaat. 

Majlis perasmian PSG 2020 telah disempurnakan oleh Toh Puan Noor Suzanna Abdullah.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin dan Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn Bhd Datuk Johnson Lim.

Terdahulu ketika berucap, Abu Bakar berkata Malaysia merupakan negara kedua pengeksport terbesar barang kemas diperbuat daripada emas di Asia Tenggara selepas Singapura dengan nilai eksportnya meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM6.3 bilion pada 2019 berbanding 2018.

"Pasaran terbesar bagi eksport barang kemas kita adalah Emiriah Arab Bersatu yang meliputi hampir 48 peratus.

"Ini diikuti oleh Singapura (34.4 peratus), Hong Kong (5.8 peratus), Jepun (4.0 peratus) dan Qatar sebanyak 2.7 peratus," katanya.

Beliau berkata, Pulau Pinang menjadi penyumbang terbesar atau 70 peratus bagi eksport barang berharga tersebut bagi tahun lepas

PSG yang diadakan selama tiga hari bermula 9-11 Oktober di Pusat Konvensyen Setia SPICE Bayan Baru, Pulau Pinang, merupakan antara usaha untuk menghimpunkan pemain industri emas bagi membantu meningkatkan semula ekonomi berikutan COVID-19.

-- BERNAMA