Menurut Menteri Kewangan ll Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, salah satu langkah penyelesaian adalah mewujudkan ekonomi berteraskan rakyat agar pertumbuhan negara tidak menindas keadilan sosial.
“Oleh itu, saya percaya bahawa rangka kerja Ekonomi MADANI yang direka untuk meningkatkan peluang ekonomi dan taraf hidup dapat menawarkan asas kukuh dalam memacu pertumbuhan mampan.
“Ia merangkumi inisiatif untuk membuka ruang ekonomi baru dan memastikan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat. Rangka kerja ini menyediakan peluang untuk munculnya penyelesaian inovatif yang berpotensi tinggi.
“Keberhasilan penyelesaian ini bergantung kepada keupayaan kita untuk bekerjasama merentas sektor dan menyatukan usaha untuk sepenuhnya memanfaatkan segala potensi yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Penutup KMF 2024 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Mengulas mengenai kerangka Ekonomi Madani, beliau menyifatkannya kini menuju ke arah positif seiring Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang menunjukkan pertumbuhan inklusif serta pengagihan adil.
Katanya, matlamat pembangunan sosioekonomi Malaysia dari 2021 hingga 2025 itu turut membawa hala tuju negara untuk membasmi kemiskinan serta mengurangkan ketidaksamaan antara kawasan luar bandar dan bandar.
Amir Hamzah juga berharap pentas KMF 2024 membuka mata semua pihak bahawa kerjasama kerajaan dengan pelbagai pihak berkaitan melalui penyelesaian bersifat inovatif mampu membawa ekonomi negara ke tahap yang lebih baik.