KUALA LUMPUR: DRB-HICOM Bhd berkata ia akan membuat rayuan dan jika perlu, memulakan prosiding undang-undang untuk mencabar asas dan kesahihan notis taksiran daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM246.25 juta (termasuk penalti) untuk tahun taksiran 2020.

DRB-HICOM dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata notis diterima oleh anak syarikatnya, HICOM Holdings Bhd (HHB) pada Jumaat (30 Ogos) dibangkitkan selaras dengan keputusan LHDN untuk mengambil kira keuntungan daripada pelupusan pelaburan jangka panjang dipegang dalam anak syarikat sebagai pendapatan tertakluk kepada cukai di bawah Seksyen 4(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2020.

"HHB diberi tempoh 30 hari dari tarikh notis untuk merayu terhadap keputusan LHDN.

"Selepas berunding dengan peguam cukai dan peguam cara, HHB berpendapat bahawa terdapat alasan undang-undang yang sah untuk mempertahankan terhadap notis itu," katanya.

"DRB-HICOM akan membuat pengumuman lanjut jika terdapat sebarang perkembangan material berkaitan perkara ini," katanya.

-- BERNAMA