DANA Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran ekonomi global tahun ini dengan jangkaan kesan COVID-19 kepada ekonomi adalah lebih buruk.

IMF menjangka ekonomi global akan menguncup 4.9 peratus tahun ini berbanding penguncupan 3 peratus yang dijangka untuk 2020 seperti diumum April lepas.

Ketua Pakar Ekonomi IMF, Gita Gopinath berkata, IMF dalam masa yang sama menjangka pemulihan akan berlaku pada 2021 dengan jangkaan pertumbuhan 5.4 peratus dengan syarat tiada gelombang kedua berlaku.

“COVID-19 mengakibatkan negara menutup ekonomi mereka untuk menyelamatkan nyawa. Namun ia juga mengakibatkan kemelesetan yang lebih buruk daripada 'The great depression'.

“Ada negara yang telah pulih. Namun dengan tiadanya penyelesaian dari segi perubatan, kekuatan pemulihan ini sangat tidak menentu. Impaknya kepada pelbagai sektor dan negara tidak sekata. Dengan pembukaan lebih banyak negara, pemulihan adalah tidak sekata.

“Permintaan yang terpendam selama ini mengakibatkan peningkatan perbelanjaan dalam sektor seperti peruncitan. Dalam masa yang sama, sektor yang memerlukan sentuhan seperti hospitaliti, pelancongan, dan pengembaraan kekal rendah. Jadi negara yang bergantung kepada sektor ini dijangka terkesan untuk jangka masa lama,” katanya

Badan dunia itu turut menjangka KDNK AS akan menguncup 8 peratus tahun ini. Ini adalah lebih besar daripada unjuran penguncupan 5.9 peratus yang dibuat pada April.



Ekonomi terbesar dunia itu dijangka pulih kepada 4.5 peratus tahun depan. Namun pertumbuhan itu dijangka tidak mampu untuk memulihkan ekonomi AS kepada peringkat sebelum COVID-19 melanda.

Untuk ekonomi kedua terbesar dunia China, IMF menjangkakan ia akan tumbuh 1 peratus pada 2020. Ini adalah lebih rendah berbanding unjuran pertumbuhan 1.2 peratus yang dibuat pada April.

IMF menggesa lebih banyak polisi daripada kerajaan dan bank pusat dilancarkan untuk menyokong pekerjaan dan perniagaan serta mengurangkan kerosakan kepada ekonomi.

Ini juga penting untuk memastikan asas yang baik untuk pemulihan.