KUALA LUMPUR: Malaysia berpeluang menjadi pusat serantau untuk pengeluaran dan pemasangan kenderaan elektrik (EV) Dongfeng Box buatan Dongfeng Motor (DFM).

Ia susulan Memorandum Persefahaman (MoU) kolaborasi ditandatangani Central Auto Distributors Bhd (CADB) yang juga anak syarikat Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) bersama NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB).

MoU itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua syarikat dalam aktiviti pemasangan kenderaan, dengan NMSB menyediakan fasiliti dan CADB bertanggungjawab terhadap pemasaran serta pengedaran kenderaan elektrik.

Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, CADB sedang meneroka program CKD untuk pengeluaran kenderaan elektrik dari China iaitu DFM.

Usaha itu, katanya, sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk menyokong visi kerajaan dan selaras dengan misi Pekema untuk meningkatkan penyertaan ahli-ahli dalam perniagaan dan ekosistem kenderaan elektrik.

"Melalui CADB, Pekema berhasrat untuk membangunkan program pembangunan bakat tempatan dan vendor untuk kenderaan elektrik. Kami juga berharap untuk mencapai pemindahan teknologi yang berjaya dengan Dongfeng Motor yang membuat pelaburan besar dalam teknologi automotif di China," ujar beliau.

Tambah beliau, ini termasuklah peluang untuk ahli Pekema terlibat dalam perniagaan pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan untuk model Dongfeng Box di bawah Syarikat Dongfeng Motor.

“Ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri tempatan tetapi juga bakal membuka peluang kepada ahli-ahli kami untuk mengambil bahagian dalam pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan," tambah beliau.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangai MoU itu yang turut disaksikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Faisal Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).