Pekema Go Green Charity Run 2024 yang buat julung kali diadakan mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan, rakan korporat, pihak bank, wakil insurans, asnaf dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Menurut Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin bahawa penyertaan OKU dan asnaf mencerminkan semangat inklusiviti yang menjadi asas kepada acara ini.
“Penyertaan mereka adalah inspirasi kepada kita semua untuk terus berusaha membina masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu padu
“Hasil sumbangan daripada acara ini disalurkan kepada institusi pendidikan Islam seperti Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum di Hulu Langat dan Institut Quran Kuala Lumpur (IQKL), di samping membantu golongan asnaf,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sebagai sebahagian daripada komitmen Pekema terhadap agenda kerajaan, program itu turut memberi fokus kepada usaha memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Dalam masa sama, katanya ia mengukuhkah hubungan strategik Pekema dengan agensi kerajaan dan rakan-rakan korporat, termasuk sektor perbankan dan insurans.
“Kolaborasi ini menjadi kunci kejayaan Pekema dalam menyokong pembangunan industri automotif negara, selaras dengan matlamat negara ke arah kelestarian dan kemampanan.
“Semangat inovasi dan kepimpinan golongan muda adalah faktor penting dalam membawa Pekema ke tahap kecemerlangan baharu,” tambah beliau.
Mohamed Nazari juga optimis bahawa acara larian Go Green Charity Run akan diteruskan pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar.