KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kembali meningkat untuk ditutup di paras tertinggi harian pada Jumaat apabila China mencatatkan data ekonomi terkini yang lebih positif berbanding jangkaan sekali gus menambah baik sentimen serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.45 mata kepada 1,459.03 daripada 1,449.58 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 0.49 mata lebih rendah kepada 1,449.09 dan mencecah paras terendah harian pada 1,448.75.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 550 berbanding 387 manakala 428 kaunter tidak berubah, 1,008 kaunter tidak diniagakan dan 23 digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 4.02 bilion unit bernilai RM4.31 bilion daripada 2.96 bilion unit bernilai RM2.20 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata keadaan pasaran serantau yang rendah kini bertambah baik apabila pelabur memberi reaksi positif terhadap pengumuman angka jualan runcit dan pengeluaran industri China bagi Ogos yang jauh mengatasi jangkaan ahli ekonomi.

Jualan runcit negara itu meningkat sebanyak 4.6 peratus bulan lepas berbanding setahun sebelum itu, manakala pengeluaran perindustrian berkembang 4.5 peratus.

Sentimen pasaran juga mendapat rangsangan daripada langkah China pada lewat Khamis yang mengurangkan nisbah keperluan rizab sebanyak 25 mata asas, menyuntik kira-kira US$69 bilion untuk membantu pemulihan ekonominya.

"Keyakinan pasaran turut meningkat memandangkan pelabur menjangkakan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dihentikan buat sementara. Justeru, kami menjangkakan indeks penanda aras domestik menerusikan kenaikannya," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, Petronas Chemicals mendahului kaunter berwajaran tinggi apabila melonjak 26 sen atau 3.63 peratus kepada RM7.43, diikuti Kuala Lumpur Kepong, yang meningkat RM1.60 atau 7.37 peratus kepada RM23.32.

Sime Darby Plantations menambah 18 sen atau 4.09 peratus kepada RM4.58 manakala CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing menokok sembilan sen kepada RM5.78 dan RM10.06.

Antara saham aktif, Sapura Energy susut setengah sen kepada 5.5 sen manakala YTL mendatar pada RM2.08 dan Ekovest naik 2.5 sen kepada 55 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 naik 69.07 mata kepada 10,444.79; Indeks FBM Emas menambah 70.71 mata kepada 10,771.17 manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 72.08 mata kepada 11,011.35.

Indeks FBM 70 melonjak 100.28 mata kepada 14,251.83 manakala Indeks FBM ACE naik 44.94 mata kepada 5,209.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 92.81 mata kepada 16,330.23; Indeks Tenaga menokok 12.45 mata kepada 893.86; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.24 mata kepada 174.48 manakala Indeks Perladangan meningkat 72.01 mata kepada 7,037.21.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.02 bilion unit bernilai RM4.08 bilion daripada 2.12 bilion unit bernilai RM2 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 464.07 juta unit bernilai RM68.52 juta daripada 288.45 juta unit bernilai RM41.40 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula susut kepada 536.34 juta saham bernilai RM159.08 juta daripada 546.61 juta saham bernilai RM157.78 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 336.91 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (449.74 juta); pembinaan (195.40 juta); teknologi (260 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (109.68 juta); hartanah (377.80 juta); perladangan (100 juta); REIT (102 juta); dana tertutup (17,000); tenaga (580.58 juta); penjagaan kesihatan (69.22 juta); telekomunikasi dan media (85.38 juta); pengangkutan dan logistik (100.84 juta); serta utiliti (246.62 juta).

-- BERNAMA